ATM Siap Siaga Ugutan Korea Utara, Jom Kita Lihat Kronologi Hubungan Malaysia-Korea Utara );

Type to search

Adamedia Isu Best

ATM Siap Siaga Ugutan Korea Utara, Jom Kita Lihat Kronologi Hubungan Malaysia-Korea Utara

Share
angkatan tentera malaysia

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutama berkaitan keselamatan siber susulan kenyataan berbaur ugutan dikeluarkan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pertamanya ATM akan memastikan negara ini selamat dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Menurutnya, ancaman di zaman ini bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi turut berkaitan keselamatan siber.

“Kita akan buat pemerhatian terutama dalam keselamatan siber dan akan buat yang terbaik yang mana pasukan kami bekerja keras.

“Matlamat ATM akan memastikan semua selamat dalam segala sudut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke -16 (TPA M-16), di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu-Song yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.

atm

Terdahulu, Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

Berikut adalah urutan peristiwa penting dalam hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang.

1974 – Korea Utara membuka kedutaannya di Kuala Lumpur

1995 – Malaysia mengadakan rundingan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat mengenai program nuklear negara itu.

2004 – Malaysia membuka kedutaannya di Pyongyang

2009 – Permulaan hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Korea Utara. Rakyat Malaysia dibenarkan ke Korea Utara tanpa visa, kenaikan import Korea Utara dari Malaysia, rakyat Korea Utara tiba di Malaysia untuk bekerja, Air Koryo memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur.

2017 – 13 Februari, Kim Jong-nam, abang tiri Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

2017 – 4 Mac, Duta Korea Utara Kang Chol diisytiharkan sebagai persona non grata dan diusir dalam tempoh 48 jam kerana memperlekeh siasatan pembunuhan itu, dua hari selepas itu kelonggaran lawatan tanpa visa untuk Korea Utara ditarik balik.

2017 – 7 Mac, Korea Utara menahan semua sembilan rakyat Malaysia di negara itu. Malaysia bertindak balas dengan melarang warga Korea Utara memasuki atau meninggalkan negara ini.

2017 – 30 Mac, semua rakyat Malaysia dan Korea Utara yang terkandas dibenarkan pulang ke negara masing-masing berikutan rundingan dan penghantaran balik mayat Jong-nam.

2018 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang dan mengakhiri ketegangan diplomatik. Namun, tidak ada perubahan dalam status quo tersebut.

2021 – 9 Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram,

atm

2021 – 19 Mac, Pyongyang mengumumkan akan menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur kerana keputusan mahkamah tersebut.

2021 – Malaysia bertindak balas dengan menyatakan amat kesal dengan keputusan Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa.

Mengulas mengenai TPA M-16, Affendi berkata, pasukan itu akan bergerak pada 26 Mac ini ke Manila, Filipina sebelum menjalani proses kuarantin.

“Selepas itu baru mereka akan bergerak ke Mindanao dan proses serah tugas dengan TPA M-15 akan dilakukan di sana.

“Seterusnya TPA M-15 akan bergerak pulang ke Malaysia pada 10 April ini sementara TPA M-16 akan meneruskan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF),” katanya.

[Sumber: Harian Metro]

Tags:
Farhana Syahirah

Sejenis ulat buku. Gemar berkongsi cerita, hidden knowledge, dan sisi menarik kepada pembaca.

  • 1

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!