Kelahiran Tiga Ekor Anak Harimau Malaya Di Zoo Taiping Sumbang Peningkatan Populasi Spesies Terancam
Share

Kesatuan Antarabangsa Konservasi Alam Semulajadi (IUCN) menyatakan bahawa Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthere Tigris Jacksoni merupakan spesies yang terancam.
Menurut survei Harimau kebangsaan tahun 2016 hingga 2020 jumlah Harimau Malaya kurang daripada 200 ekor, angka yang amat membimbangkan.
Oleh itu, kelahiran tiga ekor anak Harimau Malaya di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) diangkat sebagai kejayaan pasukan menyumbang kepada peningkatan populasi spesies tersebut.
ZTNS menerima kelahiran tiga ekor anak harimau yang comel itu pada 12 April setelah proses mengawan secara semula jadi pada awal bulan Januari tahun 2020.

Menurut ZTNS dalam status yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi mereka, berat anak harimau itu dianggarkan seberat 700 gram hingga 900 gram.
Anak harimau itu telah dilahirkan oleh seekor harimau Malaya yang berusia 11 tahun yang turut dilahirkan di ZTNS pada tahun 2009, tahun terakhir kelahiran harimau Malaya di zoo tersebut.
Ibu dan anak Harimau Malaya tersebut berada dalam keadaan stabil dan diletakan di tempat kurungan selesa serta selamat.
Pemantauan secara kerap juga dilaksanakan bagi menjamin keselamatan keluarga Harimau Malaya tersebut.

Pihak ZTNS juga memberikan diet yang mencukupi serta mematikan kandang dalam keadaan baik untuk menjamin keselesaan ibu dan anak harimau itu.
ZTNS akan sentiasa membantu negara dalam usaha meningkatkan populasi spesies harimau terancam dengan memainkan peranan seperti usaha pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran tentang hidupan liar di negara ini.
Sebanyak 500 ekor Harimau Malaya disasarkan menjelang lima tahun akan datang untuk memelihara spesies itu daripada pupus sepenuhnya.