'Lemang Sushi' Tinjau Peluang Eksport ke Filipina, Brunei );

Type to search

Adamedia Isu Best Makan

‘Lemang Sushi’ Tinjau Peluang Eksport ke Filipina, Brunei

Farhana Syahirah
Share

Makanan tradisional melayu yang di inovasikan oleh usahawan Zuriati Sulaiman, lemang sushi, sedang meninjau peluang eksport ke pasaran luar negara seperti Filipina dan Brunei.

Beliau berkata, impiannya adalah ingin menjadikan produk makanan tradisional jenama Awie bukan sahaja dikenali dalam pasaran tempatan malah luar negara sekali gus meningkatkan pembelian barangan buatan tempatan.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas, ada pelanggan dari Singapura sanggup datang ke sini semata-mata ingin merasai ‘lemang sushi’,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Awie Enterprise juga menyasarkan jualan bernilai RM300,000 menjelang akhir 2021.


Sasaran itu akan dipacu oleh permintaan yang kian meningkat terhadap produk rendang daging Minang Negeri Sembilan, masak lemak daging salai cili api Negeri Sembilan, serunding Negeri Sembilan, kuih popia simpul dan ‘lemang sushi’, katanya.

“Sejak ditubuhkan pada 2005 dengan modal permulaan sebanyak RM3,500, syarikat kami kini mampu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM16,000 hingga RM22,500 sebulan. Selain itu, banyak produk kini telah berada di 23 pasar raya terkemuka AEON dan 70 buah kedai Mesra Petronas di seluruh negara,” katanya.

Zuriati, pemenang Anugerah Peladang Jaya Wanita Negeri Sembilan 2020 baru-baru ini, berkata perjalanan perniagaan itu bermula dengan menjual serunding ikan bilis dan popia simpul yang diusahakan secara kecil-kecilan di rumah sebelum berkembang dengan menyewa bengkel kerana permintaan semakin meningkat.

Mengenai ‘lemang sushi’, produk unik itu ditawarkan dalam lima perasa iaitu durian, serunding ikan bilis, ayam, daging dan rendang daging minang, di samping merupakan antara produk yang paling laris ketika sambutan Aidilfitri, katanya.


Bagi menambah volum jualan serta mencapai sasaran 2021, beliau berkata syarikat itu sedang giat meneroka pasaran baharu menerusi platform media sosial.

Beliau berkata bagi pelanggan yang jauh, mereka masih boleh mendapatkan produk keluarannya secara dalam talian menerusi Facebook manakala pelanggan berhampiran boleh datang sahaja ke tempat operasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Operasi syarikat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Ahad. Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan produk makanan ini menerusi ejen yang dilantik di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang,” kata anak kelahiran Kuala Pilah itu.

Zuriati juga mengakui susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac 2020, jualan Awie Enterprise sedikit berkurangan.

“Tetapi saya bersyukur kerana permintaan terhadap ‘lemang sushi’ dan produk makanan tradisional lain masih ada meskipun ia tidak semeriah sebelum ini,” katanya yang kini memiliki empat pekerja.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=B4NrWPnsp4w[/embedyt]

[Sumber: Bernama]
Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!