Tidak Lama Lagi Kita Mungkin Dapat Baring dalam Kelas Ekonomi Ketika Penerbangan Verst Adamedia );

Type to search

Adamedia Isu Best

Tidak Lama Lagi Kita Mungkin Dapat Baring dalam Kelas Ekonomi Ketika Penerbangan

Share

Bukan semua orang mampu memilih tempat duduk Business Class ketika travel ke luar negara. Jika bertujuan untuk melancong, ia adalah tidak perlu.

Tetapi jika anda travel atas urusan kerja dengan perjalanan memakan masa berbelas jam, Business Class sangat berbaloi kerana ia memberi peluang anda mendapatkan rehat secukupnya (baring) sebelum mula bertugas.

Kebelakangan ini, banyak idea dicadangkan oleh beberapa syarikat tentang bagaimana untuk menambah baik tempat duduk ekonomi dalam kapal terbang.

Ia memberikan lebih keselesaan buat para penumpang kelas tersebut. Lebih-lebih dengan cara hidup norma baharu (penjarakan sosial), perubahan mesti dibuat sejajar dengan situasi semasa.

 Terbaharu, pereka Jeffrey O’Neill telah menghasilkan rekaan tempat duduk kelas Ekonomi di mana penumpang boleh berbaring dia atas kerusi duduk rata yang telah diubahsuai.

Zephyr Seat

Rekaan tempat duduk yang dipanggil “Zephyr Seat,” ini memperlihatkan tempat duduk boleh baring berbentuk “double decker” – seorang penumpang di atas, seorang lagi dibawah.

“Kami percaya pengembara masa kini mahukan privasi serta kemudahan untuk tidur dan tidak kisah untuk berbelanja lebih sedikit tanpa perlu membeli tiket Business Class,” ujar O’Neill ketika ditemubual CNN Travel.

Menurut O’Neill lagi, rekaan tempat duduknya menampilkan konfigurasi 2-4-2, di mana ia akan membenarkan syarikat penerbangan mengekalkan jumlah penumpang tanpa perlu mengabaikan keselesaan mereka.

Berdasarkan laporan Intelligent Aerospace, konsep baharu ini bakal menggunakan material komposit yang ringan dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang besar oleh syarikat penerbangan.

Kerusi pada bahagian atas turut didatangkan dengan tangga teleskopik bagi memudahkan penumpang naik dan turun.

Sementara tempat duduk penumpang direka untuk membolehkan mereka berbaring pada sudut tertentu dengan selesa.

Demi Keselesaan & Rehat Secukupnya

O’Neill menjelaskan, idea “Zephyr Seat” muncul selepas terbang dari New York ke Singapura beberapa tahun dahulu dia mana dia langsung tidak dapat melelapkan mata.

“Saya terbang dengan antara syarikat penerbangan terbaik di dunia, bersama perkhidmatan dan makanan yang menakjubkan – tetapi saya tidak boleh tidur.

“Penerbangan selama 19 jam tersebut rasa sangat tidak selesa. Kenapa susah sangat untuk terbang pada harga berpatutan di mana kita boleh baring dengan selesa?” tambahnya.

Difahamkan, O’Neill telah membentangkan konsep kerusi “double decker” tersebut dalam Aircraft Interiors Expo di Hamburg, Jerman tahun lalu.

Tahun ini, rekaannya mendapat perhatian ramai pihak disebabkan keperluan mematuhi penjarakan sosial di seluruh dunia berikutan wabak Covid-19.

Langkah seterusnya, rekaan O’Neill perlu menjalani ujian keselamatan di mana menurut CNN mungkin akan memakan masa tiga tahun untuk selesai.

Harap impian O’Neill menjadi kenyataan. Mana tahu, selepas tiga tahun nanti, kita boleh berbaring di kerusi kelas Ekonomi ketika bercuti!

Sumber: CNN

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!