Vincent Tan Mahu Derma Separuh Dari Kekayaan Untuk Rakyat Malaysia );

Type to search

Adamedia Infotainmen Lifestyle

Vincent Tan Mahu Derma Separuh Dari Kekayaan Untuk Rakyat Malaysia

Share
vincent tan

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan telah berjanji yang beliau akan mendermakan separuh daripada kekayaannya apabila sudah meninggal dunia nanti.

Mengulas tentang ini semasa beliau ditemuramah secara eksklusif dengan The Star, jutawan berusia 69 tahun ini juga menggesa rakyat Malaysia yang kaya untuk melakukan perkara yang sama.

“Saya rasa adalah kurang bijak untuk meninggalkan semua kekayaan kita kepada keluarga kita sahaja memandangkan harta benda ini kita kumpul menerusi sokongan rakyat Malaysia, dan lesen serta konsesi kerajaan serta bantuan-bantuan lain daripada banyak pihak yang kita temui sepanjang kita mengumpul kekayaan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan The Star yang disiarkan pada Sabtu.

Semasa wawancara dengan Penasihat The Star, Datuk Seri Wong Cun Wai, Vincent Tan juga mengakui bahawa kekayaan yang dimilikinya juga adalah disebabkan nasibnya yang baik.

“Saya juga amat berminat dalam pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia. Berjaya telah mereka bentuk dan membina rumah seluas 900 kaki persegi (kps) dilengkapi lima bilik tidur dan empat bilik air/tandas serta unit seluas 750 kps dengan empat bilik tidur serta tiga bilik air/tandas.

“Sektor swasta harus bersedia untuk menjual rumah mampu milik dalam lingkungan harga antara RM250,000 dan RM300,000 bagi sebuah pangsapuri seluas 900 kps di bandar berbeza di Malaysia,” katanya.

vincent tan

Untuk pengetahuan anda, terdapat 20 jenama and francais terkenal yang sebenarnya dimiliki oleh Vincent Tan ini. Jom kita lihat senarai dibawah.

1. Berjaya Hotel dan Resort
2. Berjaya Times Square
3. Sport Toto
4. Cosway
5. Kenny Rogers Roasters
6. Starbucks Malaysia
7. Wendy’s Malaysia
8. Krispy Kreme Malaysia
9. Borders Bookstores
10. Greyhound Café
11. Jollibean francais di Malaysia dan Singapura
12. Country Farm Organics
13. REDtone
14. 7-Eleven francais di Malaysia
15. Singer Malaysia
16. UMobile
17. MOLPay
18. theSun Daily
19. Bermaz Motor, Pengedar Kenderaan dan Alat Ganti Mazda di Malaysia
20. Cardiff City Football Club

vincent tan

Kenyataan Vincent Tan itu juga mengejutkan dunia korporat Malaysia baru-baru ini menerusi pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Berjaya Corp, dan menyatakan itu merupakan langkah pertama beliau untuk melepaskan kawalan terhadap syarikat.

Abdul Jalil, 38, yang juga bekas CEO Permodalan Nasional Berhad, merupakan ‘orang luar’ pertama yang dilantik sebagai CEO Berjaya.

“Saya sudah berusia 69 tahun dan akan berumur 70 tahun pada tahun depan. Saya fikir cukup-cukuplah. Saya telah bekerja sejak berusia 17 tahun, bermula dengan menjadi kerani di sebuah bank dan kini sudah bekerja tanpa henti selama 52 tahun,” katanya.

Vincent Tan juga mendedahkan bahawa beliau tidak mahu anak-anaknya terlibat dalam syarikat-syarikat senarai awam di bawah kumpulan itu dan membiarkan syarikat terbabit diuruskan oleh pengurus profesional.

“Anak-anak saya boleh mulakan perniagaan mereka sendiri kerana mereka sudah pun memiliki perniagaan. Kita perlu ada pembatasan yang jelas tentang entiti disenaraikan dan syarikat swasta,” tegasnya.

Mengenai kerja amal, Vincent Tan berkata, beliau merupakan penyokong kuat Tzu Chi Foundation, sebuah badan kemanusiaan antarabangsa, dan akan menguntukkan lebih banyak masa kepada pertubuhan itu.

“Keputusan terbaik yang pernah saya buat sepanjang hidup saya ialah menjadi vegan selepas berjumpa (Tzu Chi) Master Cheng Yen. Saya rasa sihat dari segi fizikal, mental lebih peka dan lebih kaya secara rohani,” kata Vincent Tan.

Tags:
Farhana Syahirah

Sejenis ulat buku. Gemar berkongsi cerita, hidden knowledge, dan sisi menarik kepada pembaca.

  • 1

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!