Bagaimana Singapura Bercadang Untuk Membenarkan Perjalanan Antarabangsa Dengan Selamat - Verst Backpackerz

Type to search

Backpackerz Berita

Bagaimana Singapura Bercadang Untuk Membenarkan Perjalanan Antarabangsa Dengan Selamat

Share

Pandemik COVID-19 yang melanda telah memberi kesan yang besar terhadap industri penerbangan global kerana banyak negara menutup sempadan antarabangsa dan mengehadkan perjalanan keluar masuk negara.

Bagi negara jiran, Singapura yang tidak mempunyai perjalanan udara domestik, keadaan pastinya lebih parah buat syarikat penerbangan tempatan.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung semalam berkata, Singapura tidak mempunyai perjalanan udara domestik dan “tidak boleh menunggu vaksin” sebelum membenarkan lebih banyak pengunjung masuk melalui penerbangan antarabangsa.

Untuk negara kecil seperti Singapura, sektor penerbangan memerlukan “semua hubungan ini agar dapat dilaksanakan dari sudut ekonomi,” katanya kepada CNBC Squawk Box Asia.

“Kami tidak boleh menunggu vaksin, kami harus mula melakukan sesuatu, langkah-langkah aktif,” tambahnya.

Singapura sebelum ini telah mengatur perjanjian dua hala dengan beberapa negara untuk membolehkan perjalanan atas urusan perniagaan, termasuk China, Korea Selatan dan Malaysia.

Walaupun penggubahan “reciprocal green lane” bagi pelancong korporat membolehkan “urusan perniagaan penting berjalan,” perkara itu masih “cukup ketat” dan mungkin tidak membantu menghidupkan semula sektor penerbangan Singapura, kata Ong.

Sebaliknya, penerbangan umum harus disambung semula, kata beliau. Ong menambahkan bahawa Singapura berusaha untuk mewujudkan “travel bubbles” dengan negara-negara yang telah memastikan penyebaran wabak COVID-19 dalam kawalan.

“Kita dapat buka (sempadan) dengan selamat kerana terdapat negara, wilayah yang berjaya mengawal penularan wabak ini … dan ujian tidak lagi menjadi halangan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu lagi negara-negara yang sedang dibincangkan oleh Singapura untuk rancangan ‘travel bubbles‘ ini. Tetapi katanya, China, Vietnam dan Brunei adalah antara negara yang mempunyai profil yang serupa atau lebih baik berbanding dengan Singapura.

Negara-negara tersebut menyumbang sekitar 42% jumlah penumpang udara Singapura sebelum COVID-19 tiba, kata Ong. Pada masa ini, Lapangan Terbang Changi Singapura hanya menyambut ketibaan 1.5% dari jumlah penumpang biasa, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa negara-negara yang dianggap “selamat” boleh dianggap sebagai “satu kawasan karantin tunggal” dengan Singapura.

Ini bermakna, orang-orang dari negara-negara tersebut mungkin tidak perlu meminta izin untuk melakukan perjalanan antarabangsa di dalam ‘bubble’ tersebut, tetapi mungkin diuji semasa ketibaan sebagai langkah berjaga-jaga, katanya.

Singapura juga harus “secara aktif meneroka” untuk menghapus sekatan antarabangsa bagi pelancong dari negara yang mempunyai risiko penularan yang lebih tinggi, kata Ong.

Tetapi bagi negara-negara seperti itu, keperluan kuarantin mungkin akan menghalang perjalanan walaupun sempadan telah dibuka, tambahnya.

Menteri itu menamakan tiga langkah kolektif yang dapat menggantikan keperluan kuarantin semasa tiba:

  • Protokol ujian berulang-ulang. Ianya bermaksud menguji pelancong sebelum berlepas, semasa ketibaan, dan pada hari-hari tertentu semasa perjalanan mereka;
  • Kawal atau mengehadkan tempat yang boleh dilawati oleh pelancong tersebut;
  • Jejak kontak rapat untuk mengenal pasti orang yang mungkin dijangkiti.

“Langkah-langkah tersebut dapat memungkinkan pelancong untuk “masuk, menyelesaikan urusan mereka atau mengunjungi orang yang tersayang – atau atas alasan apa pun yang diperlukan untuk masuk,” kata Ong.

[Sumber: CNBC]
Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!