Berhijrah & Cari Kerja di Jepun? Wanita ini Kongsikan Tip-Tip Sepanjang Menetap di Sana Verst Backpackerz );

Type to search

Backpackerz Asia Tips

Berhijrah & Cari Kerja di Jepun? Wanita ini Kongsikan Tip-Tip Sepanjang Menetap di Sana

Share

Disebabkan ramai yang bertanya macam mana nak berhijrah dan cari kerja di Jepun, Kak Nita kongsikan sedikit berdasarkan pengalaman Kak Nita sendiri. Pertama sekali jika kalian buat keputusan untuk berhijrah ke Jepun adalah CARI KERJA. * Kamu boleh ikuti pelbagai tip tentang kehidupan di Jepun oleh Zunita di Facebook https://www.facebook.com/zunita.naturactor

Cari kerja dari Malaysia, dah dapat kerja baru datang Jepun. Bukan datang Jepun guna tourist visa dan cari kerja. Itu adalah “illegal”. Kalian boleh di “blacklist” jika tertangkap. Ingat ya.

LEGAL DOCUMENTS & PERMOHONAN VISA

Ada sesetengah syarikat uruskan semua legal documents, tapi pengalaman Kak Nita sendiri, kami yang kena uruskan sendiri dokumen ini. Perlu ulang-alik kedutaan Jepun di Kuala Lumpur untuk dapatkan COE dan tukar ke visa status “working visa”, “spouse visa” untuk pasangan dan “dependent visa” untuk anak, jika ada.

Sebaiknya urusan visa ini dilakukan di Malaysia. Jika dilakukan lepas sampai ke Jepun, sedikit bayaran dikenakan ¥3000 (RM100) untuk setiap permohonan.

DUIT

Ya, untuk yang nak mula dari kosong seperti Kak Nita dulu, mula-mula datang Jepun Kak Nita kena ada sekurang-kurangnya RM20,000. Duit ini diperlukan untuk:
– Deposit rumah
– Guarantor rumah
– Deposit utiliti (api, air, gas)
– Barang rumah yang penting (tilam, pinggan mangkuk, barang dapur)
– Duit belanja selama sebulan sebelum dapat gaji
– Duit transport selama sebulan sebelum dapat gaji
– Duit nak register telefon bimbit dan lain-lain.

* Duit ini tidak termasusuk kos penerbangan ke Jepun

Kalau senarai ini lengkap, tahniah! Kalian sudah bersedia untuk ke Jepun.

Sampai saja di Jepun, perkara penting kena buat:
1. Register telefon bimbit. Ianya amat penting untuk urusan lain-lain
2. Cari rumah. Sementara nak cari rumah, perlu tidur hotel

Sudah dapat rumah, perlu uruskan hal rumah pula seperti daftar masuk utiliti dan sebagainya.

Jika ada anak, perlu uruskan pendaftaran anak untuk masuk sekolah/ tadika. Anak wajib bersekolah jika umur sudah 7 tahun. Boleh terus ke Pejabat Daerah untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai sekolah dan sebagainya.

CARI KERJA

Sebenarnya, ada beberapa cara. Ada cara yang mudah tetapi gaji kurang sikit dan ada cara yang lebih kompleks tetapi gaji lebih tinggi. Apa-apa pun, terpulang pada kalian nak cara yang mana, sebab Kak Nita rasa pada fasa ini, kalian tak kisah sangat pasal gaji, yang penting dapat kerja di Jepun, kan? Hehe. Jadi di sini Kak Nita senaraikan kedua-dua cara, yang mudah dan yang kompleks.

Tetapi sebelum kalian memburu kerja di Jepun, perlu tahu syarat-syarat minima yang diperlukan untuk mencari kerja. Ingat, ini syarat minima sahaja. Mungkin ada syarikat yang perlukan lebih lagi, bergantung pada “job scope” sesuatu pekerjaan itu.

SYARAT MINIMA UNTUK BEKERJA DI JEPUN
* Boleh bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Jepun

* Mempunyai kelulusan JLPT sekurang-kurangnya N4
* Berumur 26 tahun dan ke bawah (bergantung pada agensi)
* Kebanyakkan kerja di Jepun adalah dalam bidang IT dan kejuruteraan. Jika kalian mempunyai ijazah dalam bidang ini, adalah satu kelebihan

Jika telah memenuhi syarat-syarat di atas, kamu sudah boleh cari kerja dengan mengikuti langkah-langkah di bawah:

  1. KAEDAH PERTAMA: Mohon Kerja Terus Pada Syarikat

Cara ini nampak agak “straight forward” tetapi kompleks sebenarnya. Cari mana-mana laman sesawang syarikat Jepun yang memerlukan pekerja dan mohon terus daripada laman sesawang berkenaan. Jika permohonan diterima, kamu akan dipanggil untuk temuduga.

Biasanya ada beberapa siri temuduga akan dilakukan. Pada peringkat awal, temuduga akan dilalukan dalam talian menggunakan aplikasi Skype. Jadi kalian perlu mempunyai talian internet yang stabil dan laju.

Zunita Ramli berkongsi pelbagai info menarik tentang kehidupannya di Jepun.

Jika kalian berjaya melepasi saringan peringkat awal ini, biasanya temuduga terakhir (dengan CEO atau peringkat tertinggi dalam syarikat) akan dilakukan terus di syarikat tersebut di Jepun. Ini bermakna, kalian perlu datang ke Jepun untuk menghadiri temuduga tersebut dan semua kos adalah ditanggung sendiri.

KELEBIHAN:
Dengan cara ini, biasanya tiada had umur ditetapkan. Boleh jadi kalian adalah “fresh graduate” yang berumur bawah 26 tahun, atau juga “middle career” yang berumur 30 tahun ke atas. Gaji yang ditawarkan juga adalah lebih tinggi daripada kaedah kedua yang Kak Nita akan jelaskan nanti.

KEKURANGAN:
Jika katakan kalian berjaya mendapatkan kerja di syarikat tersebut, kalian perlu berpindah ke Jepun dan segala kos yang terlibat seperti kos penerbangan, kos visa, kos deposit rumah, utiliti dan sebagainya ditanggung sepenuhnya oleh kalian sendiri. Kos ini dianggarkan boleh mencecah RM20,000 atau lebih jika kalian sudah berkeluarga. Jadi jika kalian ingin menggunakan Kaedah Pertama, perlu mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM20,000 atau lebih.

  1. KAEDAH KEDUA: Mohon Kerja Menggunakan Agensi Mencari Pekerjaan

Kaedah Kedua ini lebih mudah kerana ejen akan mencarikan kerja dan syarikat yang sesuai untuk kamu. Terdapat banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan ejen seperti:
– asiatojapan.com
– daijob.com
– jobs.gaijinpot.com
– jobsinjapan.com
– www.japan-guide.com

KELEBIHAN
Cara ini lebih mudah dan tidak menelan banyak kos. Kalian hanya perlu mohon di laman sesawang ejen tersebut dan tunggu untuk panggilan temuduga. Ejen akan minta senarai lengkap profil anda, “job scope” kerja yang anda mahu dan lain-lain yang berkaitan. Selebihnya, mereka akan uruskan.

Jika berjaya ditawarkan pekerjaan di Jepun, ejen akan menguruskan daripada A sampai Z –  bermakna kos penerbangan, visa, deposit rumah dan kos utiliti semuanya akan diuruskan oleh ejen. Kalian tidak perlu mengeluarkan wang satu sen pun jika menggunakan cara ini.

KEKURANGAN
Kebanyakan kerja-kerja yang ditawarkan meliputi bidang yang terhad seperti Perisian, Teknologi Maklumat, dan Kejuruteraan. Syarat lebih ketat juga dikenakan seperti had umur 26 tahun ke bawah, kelayakan khusus seperti mahir bebahasa Jepun dan sebagainya.

Fakta penting: Jika ejen berjaya mendapatkan pekerjaan untuk kamu, mereka akan cas dari jumlah gaji yang ditawarkan. Ini menjadikan jumlah gaji yang kamu dapat lebih rendah daripada sepatutnya. Terdapat juga ejen yang mengenakan cas “lumpsum” dari syarikat yang mengambil kamu bekerja dengan jumlah RM40,000 dan syarikat akan potong gaji anda selama dua tahun mengikut jumlah tersebut. Jika ikutkan, jumlah yang dicaj memang lebih tinggi (hampir dua kali ganda dari Kaedah Pertama). Perlu diingatkan, kamu juga terikat dengan kontrak bersama agensi tersebut, sekurang-kurangnya 2 tahun.

Pada Kak Nita, Kaedah Pertama atau Kedua masing-masing ada kekurangan dan kelebihannya. Bergantung pada kamu, perlu “timbal balik” setiap pilihan mana yang lebih sesuai dengan kemampuan masing-masing. Apapun, bekerja di Jepun memberikan pengalaman baharu yang menarik…

Jadi, apa kata anda?
Dah ready nak memburu kerja di Jepun?

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!