149 Kes Positif COVID-19 di Langkawi Sejak Mula 'Travel Bubble' );

Type to search

Backpackerz Berita

149 Kes Positif COVID-19 di Langkawi Sejak Mula ‘Travel Bubble’

Share
149 kes

Sejumlah 149 kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 September lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif COVID-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut.

BACA JUGA: SOP ‘Travel Bubble’ Langkawi Diumumkan

Feri Kuala Perlis.

“Mereka (149 kes positif) telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau memaklumkan 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian COVID-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 Sept lepas, kerajaan menetapkan semakan ujian saringan COVID-19 dan juga ujian saringan COVID-19 bagi pelancong yang belum menjalani ujian sebelum mereka berlepas ke pulau itu di pintu masuk udara dan laut.

Mengenai Kluster Dah Teluk Nibung yang dilapor di Langkawi pada 1 Okt, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 249 orang telah disaring dengan 59 kes adalah positif COVID-19, 187 negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya sambil menambah semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diberi arahan HSO selama 10 hari.

Memaklumkan penularan jangkitan adalah terkawal sehingga kini, beliau berkata semua kes melibatkan kluster ini adalah kategori satu dan dua sahaja serta pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan COVID-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

[Sumber: Bernama]
Tags:
Farhana Syahirah

Sejenis ulat buku. Gemar berkongsi cerita, hidden knowledge, dan sisi menarik kepada pembaca.

  • 1

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!