215 Kes Positif, Asrama Pekerja Top Glove Dikenakan PKPD
Share

Menurut Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri, asrama penginapan pekerja Top Glove, Klang kini diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 17 November 2020.
Keputusan tersebut dilakukan berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang telah dilaporkan di kawasan tersebut malah sebanyak 215 kes dilaporkan sejak 15 November lalu.
Antara kawasan yang terlibat ialah penginapan asrama pekerja lelaki, asrama pekerja wanita, Jalan Abadi 1A/KU8, Jalan Abadi 1A dan Jalan 10/KU8.
Manakala seramai 13,190 pekerja dan hampir 1,200 penduduk di kawasan tersebut telah diperintahkan menjalani PKPD bermula esok.
Beliau juga berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan beberapa penilaian risiko dengan teliti mengenai kemungkinan penyebaran wabak tersebut.
KKM turut menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meningkatkan kawalan di kawasan terbabit selama 14 hari sehingga 30 November ini.
Selain itu, pihak pengurusan Top Glove perlu memastikan segala keperluan dan kebajikan pekerja mereka terjaga sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.
Top Glove juga akan melakukan proses sanitasi secara menyeluruh di kawasan yang terjejas.
Sumber: The Star
