Kesatuan Eropah (EU) Akan Mula Gunakan Pasport Vaksin 1 Julai Ini

Type to search

Backpackerz Berita

Kesatuan Eropah (EU) Akan Mula Gunakan Pasport Vaksin 1 Julai Ini

Share
Pasport vaksin

Kesatuan Eropah (EU) telah bersetuju untuk mengguna pakai skim pasport Covid-19 EU untuk perjalanan antarabangsa di blok tersebut bermula 1 Julai ini.

Perkara itu diumumkan Jumaat lalu, sehari selepas rundingan negara-negara anggota EU, Parlimen Eropah dan Suruhanjaya Eropah bersetuju dengan peraturan mengenai dokumen perjalanan Covid-19 berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.

Pesuruhjaya Keadilan Eropah, Didier Reynders berkata kesepakatan itu akan membolehkan perjalanan antara negara EU pada musim panas ini dan menambah bahawa ini adalah “berita baik untuk semua warga Eropah”.

“Semua negara anggota harus bersiap-siap sepenuhnya pada bulan Jun, supaya ia dapat berjalan lancar,” kata Reynders.

Beliau menambah bahawa Suruhanjaya Eropah menawarkan sokongan teknikal dan bantuan sehingga satu juta euro untuk membantu setiap negara.

Negara anggota yang memerlukan lebih banyak masa untuk mengadaptasi skim pasport berkenaan akan diberikan tempoh peralihan selama enam minggu.

Skim ini akan membenarkan warga EU melakukan perjalanan dengan lebih bebas dan selamat di dalam kawasan EU, serta dapat menyokong sektor ekonomi yang bergantung kepada pergerakan bebas, tambah Reynders.

Tiga jenis sijil akan disediakan secara percuma, dalam bentuk kertas atau digital: pertama, sijil bagi membuktikan vaksinasi dengan suntikan yang diluluskan oleh EU; kedua, sijil menunjukkan hasil ujian negatif; dan yang ketiga adalah untuk mereka yang telah pulih setelah dijangkiti Covid-19.

Mengenai kos ujian yang terlibat, Reynders mengatakan Suruhanjaya Eropah juga akan menyediakan tambahan 100 juta euro untuk membantu negara-negara anggota dalam menyediakan ujian yang berpatutan.

Peraturan tersebut menyatakan bahawa negara anggota tidak boleh mengenakan sekatan perjalanan tambahan kepada pemegang Sijil Digital Covid-19 EU, kecuali jika terdapat keperluan dan bertujuan menjaga kesihatan awam.

“Adalah menjadi kepentingan kita semua untuk menjayakan skim ini. Orang ramai akan dapat melakukan perjalanan dengan selamat. Perniagaan akan mendapat keuntungan dari perbelanjaan mereka, dan pengangkutan akan dapat beroperasi,” kata Reynders.

Sumber: Khaleej Times
Tags:

1 Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!