MATTA: Sektor Pelancongan Memerlukan Pelepasan Cukai & Bantuan Kewangan

Type to search

Backpackerz Berita

MATTA: Sektor Pelancongan Memerlukan Pelepasan Cukai & Bantuan Kewangan

Share
sektor pelancongan

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan menyediakan beberapa bentuk pelepasan cukai untuk meringankan beban kewangan kira-kira 3, 000 ahlinya kerana mereka sedang mengalami ketiadaan pendapatan dan menanggung hutang yang besar.

Setiausaha Agung Kehormat, Nigel Wong berkata sebarang bentuk pelepasan cukai akan disambut baik pihaknya memandangkan bantuan kewangan untuk sektor perjalanan dan pelancongan adalah amat sedikit.

“Selain itu sekitar 90 peratus daripada 47,000 pekerja dalam sektor ini kini menganggur,” katanya dalam program ‘Midday Update’ yang disiarkan Bernama TV minggu lepas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan MATTA agar kerajaan merangka pelan hala tuju pemulihan pelancongan.

MATTA mahu lanjutan moratorium pinjaman oleh bank turut merangkumi syarikat pajakan, susulan kebanyakan bas dan van yang digunakan syarikat pelancongan dan perjalanan dibeli daripada syarikat pajakan, katanya.

Beliau berkata untuk mengekalkan kumpulan kenderaan pengangkutan seperti bas dan van secara kewangan sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lepas telah memaksa perniagaan untuk menghentikan operasi, katanya.

malaysia

Wong berkata anggaran MATTA berdasarkan tinjauan ke atas 3,000 ahlinya sahaja mendapati hampir atau tidak lebih daripada 9,000 kenderaan dikelaskan sebagai bas persiaran (bas pelancongan).

“Berdasarkan konteks, sebuah bas pelancongan dengan 40 tempat duduk boleh membabitkan kos RM490,000 hingga RM580,000. Ini bermaksud pembayaran pajakan dan pinjaman boleh menjadi terlalu tinggi, terutama dalam keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata dalam persekitaran sukar ini, MATTA menggesa inisiatif bersasar dilaksanakan untuk membantu meringankan beban kewangan dan perbelanjaan, di samping menyokong sektor ini mengekalkan kumpulan bakatnya dan memelihara industri.

“Berdasarkan tinjauan ke atas 3,000 ahli kami, agensi pelancongan sahaja menggaji lebih 47,000 pekerja, tetapi jumlah rasminya jauh lebih tinggi kerana tidak semua agensi pelancongan menjadi ahli MATTA.

“Buat masa ini, kami menganggarkan lebih 90 peratus daripada pekerja tu sama ada diberhentikan atau cuti tanpa gaji,” katanya.

Beliau berkata jumlah itu mungkin tidak termasuk profesional bebas seperti pemandu pelancong dan pekerja kontrak yang juga bekerjasama dengan agensi pelancongan.

Wong berkata kerajaan juga perlu melonggarkan peraturan undang-undang bagi syarikat perjalanan dan pelancongan supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikurangkan bagi sementara waktu manakala bayaran Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dapat dikecualikan.

MALAYSIA

Mengenai pelepasan cukai, beliau berkata pada 2020, MATTA telah meminta kerajaan menurunkan cukai ke atas keuntungan yang diperoleh pada 2019 sebagai cara untuk menyokong aliran tunai dalam menghadapi cabaran akan datang.

“Kini, tanpa pendapatan pelancongan dan banyak agensi menanggung beban hutang bayaran sewa, pajakan dan pinjaman, semua bentuk pelepasan cukai dalam Belanjawan 2022 amatlah dialu-alukan.

“Sektor pelancongan berada dalam keadaan terawang-awang bukan sahaja ketika ini malah sejak bermulanya pandemik apabila hotel-hotel tidak beroperasi susulan sekatan pergerakan berlanjutan,” katanya.

Ketika ditanya sama penggabungan dan penyatuan boleh menjadi cara untuk syarikat pelancongan bertahan dan didorong oleh keadaan sukar dan kelembapan perniagaan semasa, beliau berkata: “MATTA telah mengemukakan idea itu kepada ahli, menggabungkan sumber sebagai langkah strategik bukan sahaja untuk kelangsungan mereka malah berkembang apabila perniagaan kembali lebih baik pada masa depan.”

Mengenai dana untuk memiliki kemahiran baharu, beliau berkata pekerja agensi pelancongan amat berbakat serta cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan persekitaran industri yang kompleks dan terus berubah.

Wong berkata kerajaan perlu menyediakan dana untuk pekerja agensi pelancongan dalam tempoh sukar ini memperoleh kemahiran teknologi dan bahasa baharu.

Dana juga sewajarnya disediakan untuk para profesional pelancongan mendapatkan sijil profesional seperti kursus sarjana muda atau sarjana dalam bidang pelancongan, katanya.

Beliau berkata ada ejen pelancongan yang menceburi ruang digital untuk menawarkan perkhidmatan dalam talian.

Industri ini sendiri sedang mendorong ahli MATTA untuk diperkasakan dan menjadi cekap digital supaya apabila sempadan mula dibuka secara beransur-ansur, MATTA berharap lebih banyak ahli akan bersedia apabila sampai masanya.

Sebagai gambaran lebih jelas mengenai kesukaran melampau yang dihadapi oleh sektor ini seperti banyak sektor lain juga, beliau berkata ada pemilik agensi pelancongan kini melakukan kerja pembinaan manual untuk terus kekal bertahan.

Beliau berkata MATTA giat menggesa kerajaan supaya melaksanakan inisiatif bersasar untuk membantu mereka yang terjejas dan merancakkan semula pelancongan Malaysia yang menjadi penyumbang utama kepada kewangan negara. – Bernama

Tags:
Farhana Syahirah

Kaki ulat buku dan digital serta suka memberi "hidden knowledge" kepada pembaca. Gemar berkongsi cerita dan sisi menarik positif yang mungkin boleh dijadikan sumber evergreen sepanjang masa.

  • 1

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!