Malang tidak berbau. Seorang remaja berasal dari Klang yang datang mandi di Tasik Cermin, di Shah Alam bersama beberapa rakannya ditemui lemas, petang semalam.
Pengunjung berusia 19 tahun itu dikenali sebagai dikenali R Puravinraj difahamkan mandi di tasik berkenaan sebelum berjaya ditemui pasukan penyelamat pada kedalaman empat meter.
Seramai 12 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 4.08 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, remaja itu ditemukan pasukan penyelamat dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Setibanya di lokasi, operasi pencarian segera dilakukan menerusi permukaan air dan penyelaman.
“Anggota operasi berjaya menemui mangsa pada kedalaman empat meter sekitar jam 4.33 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” jelasnya.

Satu tragedi yang menggemparkan buat komuniti hiking dan orang awam yang menjadikan Tasik Cermin di Puncak Perdana ini sebagai persinggahan hujung minggu untuk aktiviti rekreasi outdoor serta berkelah.
Berdasarkan pemerhatian penulis dalam grup Shah Alam Community Forest (SACF), rata-rata ramai menzahirkan simpati atas kejadian lemas itu dan mengesyorkan agar papan tanda dilarang mandi diletakkan kerana tasik berkenaan tidak sesuai untuk pengunjung mandi-manda.
Segelintir juga berpendapat tarikan Tasik Cermin ini bakal ditutup kepada orang awam setelah berlakunya insiden lemas yang meragut nyawa seorang remaja di sini.
Dalam kita berteriak sakan menikmati kebebasan yang diberikan untuk merehatkan minda, sentiasa berwaspada dan bertindaklah sebagai manusia yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Jangan buang sampah merata-merata. Tolong bersihkan kawasan sebelum beredar. Apa yang bawa masuk, pastikan bawa keluar dan buang di luar dari kawasan tersebut.
Diharapkan pengunjung untuk sedar tanggungjawab semasa bercuti bagi memelihara semula jadi flora fauna, menjaga kebersihan dan menghormati penduduk setempat.
Sentiasa menjaga keselamatan diri dan jangan lagak hero dengan melakukan aksi-aksi berbahaya di hutan, sungai dan tasik. Hormati simfoni alam sedia ada.
Baca lagi: Tasik Kenyir Destinasi Ekopelancongan Menarik di Terengganu

Foto: Shah Alam Community Forest (SACF)