PM Jamin DPN Akan Jadikan Malaysia Destinasi Pilihan Global );

Type to search

Backpackerz Berita

Dasar Pelancongan Negara Bakal Jadikan Malaysia Destinasi Global – PM

Farhana Syahirah
Share

Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang dilancarkan semalam bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri ketika berucap melancarkan dasar berkenaan secara dalam talian berkata, matlamat itu akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif, serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.

Katanya, dasar berkenaan akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.

Teras lain kata perdana menteri ialah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari, dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua subsektor pelancongan.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar negara memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan.

“Sehubungan itu, pembangunan industri pelancongan yang berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif dasar ini dapat dicapai.

“Tambahan pula, kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi subsektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan,” katanya.

 

Infografik Dasar Pembangunan Negara 2020-2030.

 

Beliau berkata, melalui DPN, Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan atau Special Tourism Investment Zones bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.

Tegasnya, kerajaan juga komited untuk mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan.

“Matlamat kita ialah untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of Mind Ecotourism Destination of the World. Saya juga yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan,” – Muhyiddin Yassin

 

Perdana menteri berkata, usaha itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Justeru, beliau berharap strategi yang terkandung dalam DPN 2020 – 2030 akan mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh semua pihak, terutamanya penggiat industri, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan.

Muhyiddin berkata, pada 2019, industri pelancongan negara menyumbang 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion serta melibatkan 3.6 juta tenaga kerja.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran pandemik ini menjejaskan aktiviti ekonomi berkaitan industri pelancongan dengan kerugian pada tahun ini dianggar melebihi RM100 bilion.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=VSbPosKMLE8[/embedyt]

Beliau berkata, kerajaan sedar pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak itu telah memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan negara.

Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara menjangkakan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk memulihkan semula industri pelancongan, iaitu satu tempoh yang agak panjang dan akan memberikan cabaran besar kepada semua pihak terlibat dalam industri berkenaan.

“Saya percaya, di peringkat awal ini kita boleh menjana semula industri pelancongan negara dengan merancakkan aktiviti pelancongan domestik, sementara sempadan masih ditutup dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong dalam negara,” tambahnya.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=5J2hgwrJqeU[/embedyt]

[Sumber: Sinar Harian]
Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!