Seni Mural Jalanan Beri Rezeki Lumayan Buat Pelukis Ini );

Type to search

Backpackerz Berita

Seni Mural Jalanan Beri Rezeki Lumayan Buat Pelukis Ini

Farhana Syahirah
Share

Minat mendalam dalam bidang seni lukisan sejak di bangku sekolah, kini menjadi punca rezeki kepada seorang siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam untuk menghasilkan seni mural jalanan yang mencecah harga ratusan ribu ringgit.

Muhammad Sayuti Rosli, 33, berkata beliau mula bergiat aktif menyertai pertandingan yang diadakan di negeri ini sejak di peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

“Saya meminati bidang seni sejak kecil lagi dan telah menyertai pelbagai pertandingan lukisan sejak di bangku sekolah selain ayah Rosli Che Awang, 65 juga merupakan bekas pelukis batik sekali gus menguatkan lagi kecenderungan saya dalam bidang seni lukisan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Jalan Temenggong di sini hari ini.

Bercerita lanjut, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus ini berkata selepas menamatkan pengajian pada 2010, beliau sering dijemput sebagai penceramah motivasi dalam bidang lukisan di sekolah-sekolah sekitar negeri ini.

“Selepas menamatkan pengajian di universiti, saya aktif sebagai penceramah motivasi berkaitan lukisan sebelum menjadi pelukis sementara di sebuah galeri di negeri ini.

“Pada awal 2011, saya mengambil keputusan untuk menfokuskan sepenuhnya dalam bidang lukisan sebagai pelukis dan mula membangunkan studio lukisan sendiri iaitu Tangan Emas Studio dan sehingga kini saya memiliki dua orang pekerja tetap.

Bapa kepada dua orang anak ini berkata, apa yang membanggakan dalam menceburi seni lukisan ini ialah beliau pernah menjadi satu-satunya wakil pelukis berbangsa Melayu dari Malaysia ke Barcelona, Sepanyol pada 2012 dan 2013 di Melbourne, anjuran Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) bagi mempromosikan budaya Malaysia menerusi seni lukisan.

 

Sayuti yang sedang melukis karyanya di Jalan Temenggong, Kota Bharu.

 

Katanya, seni mural yang dihasilkannya turut mendapat permintaan pelanggan dari luar Kelantan yang terdiri bukan sahaja daripada individu persendirian bahkan termasuk pemilik-pemilik kafe, badan kerajaan dan swasta untuk tempahan mural di bangunan pejabat, sekolah, kafe atau rumah.

“Upah yang dikenakan saya bermula serendah RM500 sehinggalah RM160,000 mengikut jenis lukisan, saiz keluasan mural selain mengambil kira bajet pelanggan. Kebiasaannya tempahan yang sering mendapat permintaan tinggi adalah mural 3D bermotifkan pemandangan serta flora dan fauna.

Menurut Muhammad Sayuti, untuk mural ringkas, beliau dapat menyiapkanya dalam tempoh kira-kira tiga jam saya dan bagi lukisan yang agak rumit mengambil masa sehingga dua bulan, selain perlu kreatif dalam penggunaan warna agar mural itu seolah-olahnya ‘hidup’.

Beliau berkata, projek mural terbaharu yang sedang giat dihasilkan adalah projek lukisan petugas barisan hadapan negara di bawah kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC), Balai Seni Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Projek mural kali ini melibatkan lukisan mural petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), askar, pemandu Grab Food bagi menghargai wira-wira ini, ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Apa yang unik, dalam lukisan mural yang dihasilkan ini, para petugas barisan hadapan semua memakai pelitup muka sekali gus bagi memberi mesej dan pengajaran kepada masyarakat mengenai kehidupan norma baharu yang perlu dijalani,” katanya.

Beliau berkata, lukisan berkenaan perlu disiapkan dalam tempoh dua minggu sejak 1 Dis lepas, namun ia tertangguh sehingga sekarang memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, tambahan pula fenomena musim tengkujuh yang sedang melanda Kelantan.

“Tempoh bagi menyiapkan projek ini sudah tertangguh daripada tempoh asal, namun saya menjangkakan mural sebesar 216 meter persegi ini akan siap dalam masa terdekat walaupun terpaksa berhadapan cabaran dengan cuaca yang tidak menentu.

“Cabaran lain, adalah saya pernah beberapa kali berhadapan dengan vandalisme yang merosakkan hasil seni mural sehingga menyebabkan saya terpaksa mengecat dan mewarnakan semula mural yang dihasilkan,” katanya.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=lCUjDZtaBvc[/embedyt]

[Sumber: Bernama

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!