);

Type to search

Backpackerz Insider

Christmas Island – Ramai Travel ke Australia Namun belum Pernah ke Sini

Share

Terus-terang, penulis hanya mengetahui tentang Christmas Island sewaktu menonton rancangan National Geographic di televisyen. Namun, siapa sangka. Bermula daripada rasa ingin tahu, penulis berpeluang melawat pulau yang didiami bukan sahaja manusia, malah ribuan spesies ketam merah ini!

Christmas Island dikelilingi Lautan Hindi di sebelah barat daya Australia. Sebahagian besar kawasan pulau ini digazetkan oleh kerajaan Australia sebagai Taman Negara – satu usaha jitu demi memastikan khazanah alam kekal terpelihara dan tidak tercemar dengan arus pembangunan.  

‘BERSELERAK ATAS JALAN’

Terdpat beberapa jenis hidupan liar di Christmas Island namun yang paling menonjol hingga menyebabkan ia muncul dalam rancangan National Geographic ialah si ketam. Terdapat dua jenis ketam di sini iaitu Red Crab dan Robber Crab yang saiznya seperti bayi yang berusia 2 tahun.

Ketam Merah mendapat layanan “istimewa” di Christmas Island. Mereka dilindungi di undang-undang hidupan liar Australia yang mana jika anda melanggar haiwan ini dengan sengaja (ketika memandu), anda bakal dikenakan tindakan undang-undang. Penulis berasa “seriau” ketika menumpang kereta seorang penduduk tempatan di sini yang beberapa kali cuba mengelak daripada terlanggar beberapa ekor ketam merah yang sedang melintas jalan raya.

Menurut cerita penduduk tempatan, terdapat kira-kira 50 juta ketam merah di Christmas Island. Ketam merah tidak seperti ketam biasa. Spesies ketam merah menjadikan kawasan berbukit sebagai habitat mereka.

Setiap tahun dari bulan November hingga Januari (musim hujan), jutaan ketam merah ini akan keluar daripada sarang mereka dan turun ke laut untuk membersihkan badan. Selepas itu, mereka akan kembali ke darat, menggali lubang-lubang dalam tanah di mana ketika ini adalah musim mengawan untuk ketam jantan dan ketam betina. Ketam betina akan kekal sekitar 2 minggu di dalam lubang untuk menghasilkan telur sementara ketam jantan akan kembali ke habitatnya di kawasan berbukit. Dalam tempoh dua minggu kemudiannya, ketam betina akan pergi ke pantai untuk melepaskan semua telur-telurnya.

Senang cerita, jika anda berhajat ke Christmas Island, datanglah ketika bulan November hingga Januari jika mahu melihat jutaan ketam yang kelihatan seperti “karpet merah” yang bergerak melintasi jalan beramai-ramai untuk ke kawasan pantai. Satu pemandangan yang tidak dapat penulis lupakan. Memang rare!

ADA KAMPUNG MELAYU & CINA!

Terkejut penulis apabila dibawa melawat ke perkampungan Melayu dan Cina di Christmas Island. Perkampungan Melayu dipanggil Flying Fishing Cove sementara untuk orang Cina dipanggil Poon San. Lebih mengejutkan, sebilangan besar penduduk Melayu dan Cina di sini berasal dari Malaysia. Difahamkan, mereka mengambil keputusan berhijrah ke Christmas Island atas faktor peluang pekerjaan (perlombongan) dan kedamaian yang ada di pulau ini. Tiada kesesakan jalan raya, tiada bangunan-bangunan tinggi yang menghalang pemandangan. Terdapat sebuah masjid di Christmas Island untuk penduduk-penduduk beragama Islam untuk menunaikan solat atau menghadiri kelas-kelas keagamaan.

TARIKAN PELANCONGAN MENARIK

Christmas digemari pelancong yang cintakan keindahan alam dan tarikan semula jadi yang ditawarkan. Antara beberapa lokasi yang saya lawati adalah seperti berikut:

Pantai Lily

Kawasan pantai berbatu dengan ombak deras. Pemandangannya sangat indah kerana formasi batu yang mengelilingi kawasan pantai ini. Pengunjung boleh mandi di sini tetapi perlu berhati-hati kerana ombaknya deras. Takut sedar-sedar sudah hanyut ke tengah laut!

Pantai Dolly

Kawasan pantai berbatu dengan deretan pokok kelapa mengelilinginya. Pengunjung yang datang ke sini gemar bersandar pada batu-batu sambil membasahkan tubuh mereka dengan air laut.

Blowholes

Kawasan tebing tinggi dengan air laut yang deras melalui di bahagian bawahnya. Terdapa beberapa lubang di bawah tebing berbatu ini. Jadi, setiap kali ombak laut menghempas tebing, pancuran air akan memancut tinggi dari lubang yang memberikan pemandangan menakjubkan.

The Grotto

The Grotto merujuk gua kecil di tepi laut dengan sebuah kolam semula jadi di dalamnya. Air di klam ini dialirkan daripada gabungan air laut dan air bukit, menjadikannya kelihatan seperti bewarna hijau. Pengunjung gemar ke sini sekadar untuk berendam dalam suasana yang tenteram sambil sesekali bunyi deruam ombak laut menyapa sekali-sekala.

Margaret Knoll

Kawasan pelantar pemerhati tertinggi yang ada di Christmas Island. Dari pelantar ini, anda dapat memerhatikan hampir separuh kawasan Christmas Island. Untuk treking ke sini dari pintu masuk tidak jauh. Hanya 50 meter sahaja.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!