6 Seni Jalanan, Mural Menghidupkan Suasana Kota Sekitar Lembah Klang & Shah Alam
Share

- Terdapat banyak tarikan seni jalanan (mural) boleh dilawati di negeri Selangor.
- Seni jalanan dapat membantu industri pelancongan tempatan khususnya pembangunan komuniti setempat.
- Mural menjadi platform penghasilan karya seni unik oleh pelukis tempatan buat tatapan pengunjung.
Penuhkan memori telefon pintar anda dengan foto-foto lukisan mural gergasi pelbagai konsep, menerusi penceritaan lorong belakang serta lorong sisi bangunan.
Tidak perlu berbelanja besar, masih dalam negeri yang sama dan pengalaman jalan-jalan makan angin yang menyeronokkan.
Tarikan seni jalanan kini mendapat sambutan baik oleh pengunjung tempatan untuk melawat dan bergambar sakan bagi memenuhi feed Instagram. Sudah pasti anda boleh menggunakan hastag #OOTD dan #PusingSelangorDulu
Bagaimana? Berikut adalah senarai lokasi seni jalanan yang boleh dikunjungi sekitar Lembah Klang dan Shah Alam.

1) LAMAN SENI 7, SEKSYEN 7 SHAH ALAM
Laman Seni 7 merupakan sambungan daripada Laman Seni 2 di Seksyen 7, Shah Alam, berdekatan dengan i-City dan pusat membeli-belah Central i-City.
Ia merupakan tempat atau zon yang kreatif dan cantik yang diwujudkan bertujuan untuk penghayatan bidang seni lukis dan kreatif. Kawasan ini adalah hasil daripada inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengubah lorong belakang kawasan komersial dan perindustrian menjadi selamat, bersih dan tenang.
Pelbagai hasil seni yang dilukis seperti Lukisan 3D, Pemasangan 3D, Perabot Jalan dan lain lain lagi. Laman Seni 7 ini berkonsepkan ciri-ciri “Komuniti Shah Alam”, “Tarikan Pelancong” dan juga “Konsep Hijau”.

2) LAMAN SENI 2, SEKSYEN 2 SHAH ALAM
Laman Seni Seksyen 2 ini merupakan titik permulaan terjadinya kawasan mural di Shah Alam yang kemudiannya ditukarkan ke Laman Seni 7.
Tema untuk karya seni di tempat ini adalah ‘kembali ke sekolah’. Bersedia untuk mengimbau suasana nostalgia di mana anda akan melihat bilik gantung, bas sekolah, lukisan haiwan dan lain-lain lagi.
Bukan hanya itu, terdapat juga medan selera di mana anda boleh berehat setelah bergambar di lokasi lukisan mural.

3) SAFARI JEJAK WARISAN, KLANG
Jika ke Bandar Diraja Klang, adalah wajib untuk singgah ke bandar lama Klang yang mana terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan untuk masyarakat India.
Malah anda juga boleh singgah untuk mengambil gambar lukisan mural yang menarik dan bertemakan “Safari” sepanjang lorong-lorong belakang kedai di bandar lama Klang.
Kawasan mural ini telah dirasmikan oleh Datuk Zainal Abidin Abu Hassan pada 5 Jun 2020 dimana anda akan terpesona dengan hasil lukisan bertemakan haiwan ibarat berada dalam safari sebenar.
Kredit foto – Mueastt


4) SASARAN ART, KUALA SELANGOR
Sejak tahun 2008, Organisasi Sasaran Art telah menganjurkan festival seni berskala besar setiap 3 tahun bagi memberi pendedahan tentang lukisan jalanan.
Selain itu, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, pembinaan bangunan 2 tingkat telah dijadikan sebagai sebuah pusat galeri seni yang dinamakan “Balai Seni Sasaran Kuala Selangor”.
Ianya berfungsi sebagai pusat seni, festival ataupun pameran tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Kredit foto – Majlis Daerah Kuala Selangor

5) MURAL JALAN KENARI, PUCHONG
Kawasan mural ini terletak di Jalan Kenari 5, Puchong ini dihiasi dengan pelbagai lukisan mural di sepanjang jalan keluar.
Karya seni lukisan mural ini telah dilukis hasil oleh 103 orang pelajar tahun akhir dari The One Academy, Subang Jaya dan juga dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik yang mengambil masa selama 6 hari.
Hasil lukisan mereka menggambarkan kecantikan dan elemen budaya Malaysia berdasarkan tema Negeri Selangor dan keunikan Negara.
Kredit foto – Tourism Selangor
*Trivia – Bandar raya Melbourne, Australia terkenal dengan kreativiti lukisan mural sehingga menjadi tarikan serta bualan pelancong di seluruh dunia.
6) KUALA KUBU BHARU MURAL (KKB), HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu (KKB) terlelak lebih kurang 70km dari bandar Kuala Lumpur, Bandar Kuala Kubu Bharu terkenal dengan tarikan aktiviti semula jadi seperti water tubing dan white water rafting.
Tetapi bukan itu sahaja, terdapat juga kawasan seni jalanan di mana karya seni dilukis di dinding bangunan lama sekitar kawasan KKB.
Lapan lukisan mural di KKB ini juga mendapat sentuhan lukisan oleh 40 orang pelajar dan staf dari ALFA College pada tahun 2014 yang menggambarkan kehidupan bandar KKB yang cukup indah lagi mempesonakan.
Kredit foto – Tourism Selangor

Artikel ini dikongsikan oleh Tourism Selangor. Sukacita Tourism Selangor menasihati pengunjung untuk menjaga penjarakan sosial serta mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19.