Keunikan Sayur 'Ice Plant' Cameron Highlands );

Type to search

Backpackerz Insider Makan-Makan

Keunikan Sayur ‘Ice Plant’ Cameron Highlands

Farhana Syahirah
Share

Jika di Sabah dan Sarawak terkenal dengan ulam seperti Latok, di Cameron Highlands juga mempunyai ulam unik yang diberi nama Ice Plant.

Cameron Highlands yang terkenal sejak azali dengan lokasi yang unik dan mendamaikan, buah-buahan dan sayuran segar, memang tidak asing lagi akan menjadi tarikan pelancong tidak kira di luar mahupun dalam negara.

Sejak kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan bagi merancakkan kembali industri pelancongan domestik, rata-rata kebanyakan mereka dari zon hijau akan memilih Cameron Highlands sebagai salah satu destinasi percutian. 

Mengulas sedikit tentang makanan, tidak sah pula rasanya jika bercuti tetapi tidak mencuba makanan yang baru. Baru-baru ini, penulis berpeluang jejak kaki ke Tanah Tinggi dan menjumpai sayur yang agak unik: Ice Plant.

Ice Plant Cameron Highlands

 

Jika dilihat dari gambar, bentuk sayur seakan berembun kerana kelihatan seperti titisan air seakan kristal di batang sayur berkenaan.

Pertama kali merasai sayur ini secara mentah, penulis dapat rasakan kerangupan juicy serta sedikit masin yang membuatkan kita hendak makan lagi dan lagi.

Mungkin kerana ia dicecah bersama sos sesame seed, jadi kombinasi rasa tersebut kena dengan selera. Menurut kata peniaga tempatan, sayur ini juga boleh dibuat ulam (mentah) dan juga dimasak.

Asal usul Ice Plant ini berasal dari Afrika Selatan yang dijumpai di Gunung Nambib iaitu kawasan yang panas terik. Sayur Ice Plant ini juga dikenali sebagai Tsuburina yang tergolong dalam gen Mesembryanthemum herba keluarga Aizoaceae

Ia juga kaya dengan pelbagai khasiat seperti vitamin A, B dan C, garam mineral dan juga isoflavon: kelas fitokimia yang membantu untuk lindungi tubuh badan daripada kanser payudara, gejala menopaus, penyakit jantung dan osteoporosis.


Ice Plant
yang kaya dengan air, ia juga adalah sayur yang rendah kalori dan sangat sesuai untuk dijadikan diet harian bagi anda yang mementingkan kesihatan tubuh badan.

Keunikan rasa sayur Ice Plant ini hanya boleh didapati di Cameron Highlands sahaja membuatkan sayur ini sukar untuk didapati melainkan datang ke sana. Harga semasa penulis membeli Ice Plant ini, satu bekas berharga RM6 manakala jika membeli dua bekas: RM10.

Kebanyakan orang juga mengatakan bahawa Ice Plant ini dipanggil sebagai ‘Sayur Bangsawan’ kerana dapat dijumpai di hotel atau restoran mewah sahaja. Tetapi kini, tidak lagi. Marhaen juga mampu membelinya jika singgah ke Tanah Tinggi jika ingin mencuba.

Ice plant yang dijamah penulis ketika di dalam kereta.

 

Selain dimakan secara mentah, terdapat pelbagai resepi yang boleh dicuba jika anda ada rezeki untuk mencuba Ice Plant ini. Boleh kukus seperti air teh, hiasan untuk makanan, buat tempura goreng (seperti bayam goreng), tumis sayur, ataupun jika kreatif boleh dimasukkan dalam makanan kegemaran mengikut citarasa.

Dapat bayangkan rasanya yang enak dimakan bersama nasi yang panas. Jika tekak kampung, cecah bersama sambal belacan ataupun budu sambil menikmati waktu hujan di luar.

Jika tekak bandar, boleh dijadikan salad sebagai hidangan sampingan bersama stik ataupun salmon. Masak atau mentah, kedua-duanya masih mendapat khasiat daripada Ice Plant Cameron Highlands ini.

Jika datang ke sini, jangan lupa untuk patuhi SOP serta amalkan norma baharu sambil merancakkan kembali industri pelancongan domestik di negara kita. #KitaJagaKita dari Backpackerz!

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!