Nagoro Village, Kampung Unik Dipenuhi Dengan Patung Jerami Di Jepun );

Type to search

Backpackerz Insider

Nagoro Village, Kampung Unik Dipenuhi Dengan Patung Jerami Di Jepun

Share
nagoro

Seperti kebanyakan perkampungan di Jepun, kampung Nagoro di pulau Shikoku juga sunyi kerana kebanyakan penduduknya berpindah ke bandar besar dan ramai sudah meninggal dunia.

Bagi mengelak kampung itu terus dilupakan, seorang penduduk, Tskukimi Ayana, 67, membuat patung jerami supaya kawasan itu kelihatan seperti masih berpenghuni.

BACA JUGA: Jelajahi Perjalanan Epik Dengan Kereta Api Baru di Jepun

Patung bersaiz manusia itu boleh dilihat di mana-mana apabila menunggu pengangkutan awam di hentian bas, berehat di kawasan taman dan berkumpul bersama keluarga di luar rumah.

Foto / Roberto Maxwell

Terdapat juga patung yang ‘bekerja’ di kampung itu antaranya membaiki jalan atau memotong jerami.

Kebanyakan patung itu mewakili penduduk berhijrah atau sudah meninggal dunia yang pernah tinggal di kampung Nagoro ini.

Kampung Nagoro juga mendapat jolokan kampung patung kerana ia dihuni lebih 350 patung berbanding kira-kira 30 manusia.

Tskukimi Ayana, pembuat patung jerami.

Ayana memberitahu, dia pulang ke Nagoro kira-kira 16 tahun lalu dan mendapati kampungnya yang satu masa dulu meriah dengan pelbagai aktiviti penduduk kini sunyi sepi.

Kebanyakan golongan muda di kampung itu berhijrah ke bandar besar untuk bekerja dan golongan tua yang tinggal seorang demi seorang meninggal dunia.

Apabila bapa Ayana meninggal dunia dan tanamannya rosak dimakan burung, dia membuat orang-orang yang kelihatan seperti bapanya.

Sejak itu, Ayana mendapat idea untuk menghidupkan semula kampung yang pernah dikenalinya dulu.

Ayana kemudian membuat patung menyerupai bekas penduduk menggunakan jerami, kain dan baju lama sebelum meletakkan ia di lokasi mereka sering berada atau pernah tinggal ketika masih hidup.

Sebahagian patung itu diletakkan di rumah yang kini kosong dan ia boleh dilihat seperti menyediakan teh, membuat persediaan perkahwinan atau menonton televisyen.

Beberapa lagi patung dilihat berehat di gerai tepi jalan, memancing di sungai dan berjalan pulang dari kedai.

Sekolah yang ditinggalkan juga kembali ‘dihuni’ apabila Ayana meletakkan patung murid sekolah di kelas, lengkap dengan guru dan pengetua.

Dalam satu dokumentari terbaru yang diterbitkan pengarah, Fritz Schumann, Ayana memberitahu, mungkin satu hari nanti dia menjadi satu-satunya manusia tinggal di kampung itu bersama patung penduduk pernah dikenalinya.

“Apabila membuat patung penduduk sudah tiada ini, saya ingat kembali kenangan bersama ketika mereka masih hidup dan sihat. Patung ini seperti anak saya,” katanya.

Bagaimanapun, suasana di Nagora tidak lagi sunyi kerana usaha Ayana itu menjadikan kampung berkenaan tarikan pelancong yang datang dari seluruh Jepun dan luar negara.

Mereka yang berada di luar negara juga sering ‘melawat’ kampung berkenaan menggunakan aplikasi Streetview oleh Google Maps.

Ayana sengaja meletakkan kebanyakan patung di tepi jalan supaya ia mudah dilihat oleh pelancong maya berkenaan.

[Sumber: Outlook Traveller]
Tags:
Farhana Syahirah

Sejenis ulat buku. Gemar berkongsi cerita, hidden knowledge, dan sisi menarik kepada pembaca.

  • 1

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!