Isu: Botol & Plastik, Antara 700kg Sampah Dikutip Dari Dasar Laut Semporna. Salah Siapa? - Verst Backpackerz

Type to search

Backpackerz Isu Pilihan Backpackerz Pilihan Editor Tips Visit Malaysia 2020

Isu: Botol & Plastik, Antara 700kg Sampah Dikutip Dari Dasar Laut Semporna. Salah Siapa?

Share
  • Daerah Semporna telah menerima kemasukan sebanyak 900 ribu pelancong sejak awal tahun ini.
  • Kira-kira 200 bot pelancong di Semporna telah dipilih Tourism Malaysia untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 kepada pelancong domestik & antarabangsa.
  • Program pembersihan sampah di dasar laut Semporna ini merupakan usaha berterusan dalam menyokong Kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih & Indah.

Bila sebut Sabah, tidak jauh daripada fikiran kita adalah tarikan pelancongan yang ditawarkan merangkumi ekopelancongan, hidupan marin, lau dan pantai serta kembara lasak serta pendakian gunung-ganang. Pendek kata, macam-macam ada di Sabah Bah!

Dalam pada itu, penulis sentiasa membayangkan bahawa Negeri di Bawah Bayu ini sudah bersedia menjadi destinasi pelancongan yang unggul kerana memiliki 1001 keindahan alam semula jadi yang saling melengkapi!

Sabah
Semporna antara daerah yang dikenakan PKP Diperketatkan Bersasar
Pulau Pom Pom, Sabah

“Cuma, satu perkara yang masih menjadi tanda tanya penulis adalah isu sisa buangan yang dikumpul semasa aktiviti pembersihan sampah di dasar laut di Pulau Bum-Bum, Semporna baru-baru ini. 

Apa yang lebih memeranjatkan adalah lebih 700 kilogram (kg) sisa buangan antaranya tayar, besi buruk, plastik dan botol telah berjaya ‘diselamatkan’ dalam tempoh tujuh jam dari 8 pagi hingga 3 petang aktiviti pembersihan sampah dilakukan di sini”.


700 kg sisa buangan dibersihkan di Pulau Bum Bum

Korang bayangkan, 700 kg sampah tersebut yang berjaya dikutip, bagaimana pula dengan sampah sarap yang belum dibersihkan di dasar laut sana? Apa nasib hidupan marin yang ‘bernafas’ dalam persekitaran laut di pulau-pulau sekitar Semporna dan seangkatannya?

Sebelum isu tersebut dipanjangkan, kita patut bersyukur dan menghargai keperihatinan yang ditunjukkan oleh Persatuan Pelancongan Semporna, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), ND Divers, Uncle Chang dan Scuba Diving International (SDI) yang menyertai program Voluntourism: Pembersihan Dasar Laut di Pulau Bum Bum.

Tiga pelancong dari negara China antara 30 penyelam profesional tempatan dan antarabangsa melibatkan diri secara sukarela dalam usaha berterusan serta menyokong Kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih dan Indah yang dilancarkan sejak November tahun lalu.

Seramai 30 penyelam profesional menyertai program Voluntourism: Pembersihan Dasar Laut di Semporna

Program tersebut dianjurkan sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah bersama Tourism Malaysia.

Inisiatif program itu adalah usaha meningkatkan kualiti hidupan marin bagi menggalakkan pertambahan bilangan spesies yang boleh dilihat dari semasa ke semasa.

Sejajar dengan usaha yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, pengunjung mahupun pelancong seharusnya mengambil bahagian secara ‘volunteer’ untuk memastikan keindahan Semporna yang digelar “The Gateway to Beautiful Islands” ini dipelihara sebaik-baiknya.

Antara sampah yang dikutip adalah plastik, botol, tayar, besi buruk & sebagainya
Program tersebut dianjurkan sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019

Betul, memang bukan mudah untuk menjaga kebersihan tapi bayangkan Semporna yang dikelilingi oleh terumbu karang yang menakjubkan, pantai pasir putih, laut biru jernih serta 70 tapak menyelam terbaik lenyap begitu sahaja dek kerana sifat pengotor dan malas segelintir individu.

Tidak mustahil tayar boleh bergolek sendiri ke laut, tidak masuk akal besi buruk boleh reput dengan mudah di dasar atau botol plastik digunakan oleh hidupan marin? Tabiat membuang sampah ke dalam laut boleh menyebabkan hidupan marin di perairan berkenaan mati sekiranya termakan plastik dalam jangka masa yang panjang tanpa dirawat.

Tak perlu tunding jari pada sesiapa, ayuh sama-sama menjaga alam semulajadi yang dipinjamkan kepada kita bagi menyemarakkan rasa sayang serta menyokong kempen Visit Malaysia 2020! Come on guys, our biodiversity our future.

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!