Itinerari: 12 Hari Menjelajah 2 Buah Negara Indochina Bersama Anak-Anak, Ibu 'Solo' Kongsi Pengalaman & Bajet - Verst Backpackerz

Type to search

Backpackerz Asean Itinerari Pilihan Backpackerz Pilihan Editor Tips

Itinerari: 12 Hari Menjelajah 2 Buah Negara Indochina Bersama Anak-Anak, Ibu ‘Solo’ Kongsi Pengalaman & Bajet

Share
  • Persekitaran fizikal Indochina kebanyakannya adalah kawasan pergunungan & beriklim tropika monsun.
  • Semenanjung Indochina merangkumi beberapa negara seperti Myanmar (Burma), Thailand, Laos, Cambodia dan Vietnam.
  • Sungai Mekong merupakan sungai terpanjang di Asia Tenggara yang menjadi nadi perhubungan utama di Indochina selain Tasik Tonle Sap.

“Tidak dinafikan percutian ke luar negara bersama anak-anak agak mencabar, tetapi seperkara yang tidak akan dilupakan adalah ‘bonding time’ yang diluangkan bersama, tentu sekali unik dan indah”. 

Tanah besar Asia Tenggara (Semenanjung Indochina) adalah sebuah kawasan (benua) terletak di Asia Tenggara. Indochina terletak di Timur India serta Selatan China dan bersempadan dengan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Rancangan asal saya nak cover empat negara iaitu Cambodia-Vietnam-Laos-Thailand tapi masa tidak mengizinkan kerana sesi persekolahan anak-anak bermula pada 2 Januari 2020. Trip saya tidaklah padat mana, sebab nak bagi anak-anak melihat dunia luar dan menikmati keseronokkan bercuti. 

Bergambar di Stesen Bangkok

Jadi, hanya trip 12 hari yang sempat saya aturkan bermula dari Kuala Lumpur, Siem Riep, Bangkok, Hatyai dan berakhir di Bukit Mertajam.

Kebiasaannya, saya banyak kongsikan kisah travel solo atau bersama kenalan kembara, tapi percutian kali ini berbeza, saya menjelajah bersama tiga anak yang berusia sekitar 5 hingga 11 tahun.

Untuk trip ini saya bersedia dari segi mental dan fizikal, maklumlah melancong dengan anak-anak ni, sedikit sebanyak ‘suhu badan’ akan naik tiba-tiba, bila ada yang tak dengar kata atau pun mereka bergurau kasar sesama sendiri.

Ketika itu, sesiapa pun boleh bertukar menjadi singa tanpa dipaksa. Alhamdulillah, sepanjang pengembaraan kami, anak-anak menunjukkan kelakuan yang baik, mungkin proses pemahaman dan matang turut berlaku setelah menjejakkan kaki ke luar negara. 

“The greatest legacy we can leave our children is happy memories”

Destinasi: Penang-Kuala Lumpur-Siem Riep-Kanchaburi-Lopburi-Bangkok-Hatyai-Penang (Kemboja & Thailand) 

Tarikh: 21/12/2019 – 1/1/2020

Day 1: Penang-Kuala Lumpur (KLIA2)

Sesiapa merancang percutian pada saat akhir tapi malas nak memandu atau tak nak serabut kepala nak parking kenderaan dekat mana, pilihan pengangkutan paling mudah untuk dicapai adalah bas.

Tiket bas boleh beli online menggunakan Easy book application. Satu tiket RM55 menghala Kuala Lumpur, kami empat orang jadi RM200. Harga dewasa sama sahaja dengan kanak-kanak ye.

Sampai di KLIA2, kami menginap di Tune Hotel untuk berehat (RM271.70).

Before departure, 4 pagi dah semangat bangun

Day 2: Goodbye Kuala Lumpur & Hello Siam Rep

Tiba di lapangan terbang Rep International Airport jam 7:50 pagi (waktu tempatan) dan meneruskan perjalanan menuju tempat penginapan. 

Kami menginap di Oops Hostel untuk dua malam (RM133.12). Lokasi penginapan cukup strategik sebab berdekatan dengan kawasan tumpuan iaitu Pub Street. Letak beg, rehat dan cari makan tengahari. 

Meluangkan masa bawa anak-anak ke Cambodia Culture Village. Harga tiket masuk ($36) RM148 untuk 3 orang. Siem Riep punya masa adalah satu jam awal dari waktu Malaysia. Makan malam dan selamat malam!

Rep International Airport
Cambodia culture village
Cambodia culture village

Day 3: Ronda Siem Rep

Bangun seawal 5:30 pagi dan bergerak ke Angkor Wat untuk melihat matahari terbit. Itinerari hari ketiga hanya tertumpu pada Angkor Wat, jadi budak-budak pun boleh fokus dan mengenali sejarah Angkor Wat.

Bayaran masuk ke sini $37 (RM152), tapi untuk kanak-kanak 12 tahun dan kebawah, tidak dikenakan bayaran masuk. So, dapatlah jimat untuk kos untuk masuk ke Angkor Wat.

Makan tengahari dan sambung bersiar-siar sekitar Angkor Thom & Ta Prohm. Selepas itu, ambik teksi untuk balik hotel, $30 (RM122)

Dah sampai Siem Riep, rugi tak ronda sekitar Pub Street, tapi lokasi ini tidak begitu sesuai untuk anak kecil atau masih bersekolah. Pub Street ini adalah tempat tumpuan pelancong untuk menghiburkan diri pada waktu malam. 

Matahari terbit di Angkor Wat
Angkor Wat
Angkor Wat
Siem Riep pun ada tuk tuk

Day 4: Siem Riep menuju Kota Bangkok

Perjalanan seterusnya menuju ke Kota Bangkok. Terima kasih Siem Riep untuk dua malam yang penuh bermakna. Saya beli tiket bas on the spot secara online

Tiket untuk seorang $16, jadi jumlah perlu bayar $64 (RM262). Anda boleh juga cari tiket menerusi Giant Ibis Transport, bas akan pickup dekat hotel dan terus bergerak ke Bangkok.

Oh, jangan lupa dapatkan kad sim, 140 baht (RM19). Perjalanan menaiki bas akan lalu cross bolder Kemboja-Thailand (Krong Poi Pet). Waktu pun dah malam, kami check-in dekat Scala Hostel Bangkok untuk dua malam (RM144.66).

Scala Hostel Bangkok terletak di tengah-tengah Bangkok Chinatown yang dinamakan Yaowarat Road. 

Salah satu lokasi penggambaran filem Lara Croft, Tomb Raider, Angkor Wat
Bunga tulip di Angkor Wat
Bangkok Chinatown
Scala Hostel Bangkok

Day 5: Damnoen Saduak Floating & Maeklong Train Market

Hari pertama di Bangkok kami sewa kereta 700 Baht (RM95.10). Anak-anak teringin sangat naik sampan, ibu pun kena turutkan permintaan. Kami menuju ke Damnoen Saduak Floating market.

Sekali sekala kita manjakan anak-anak apa salahnya. Naik sampan satu jam, 1500 Baht (RM204). Dekat pasar terapung ni kena pandai tawar menawar sikit.

Mereka akan bagi harga tiket ‘dibawah kadar Kerajaan’. Harga asal yang mereka tawar dari 2500-5000 Baht. Bagi yang nak jimat, memang akan skip aktiviti naik bot ini.

Itinerari seterusnya, dari pasar terapung menuju ke Maeklong railway market. Masa ketibaan kereta api adalah pada 8:30 pagi, 11.10 pagi, 2:30 petang dan 5:30 petang. 

Masa berlepas pula adalah 6:20 pagi, 9.00 pagi, 11.30 pagi dan 3.30 petang. Jika anda tidak datang pada masa yang dinyatakan, anda mungkin terlepas melihat kereta api yang lalu di tengah-tengah pasar popular ini.

Damnoen Saduak floating market
Maeklong railway market
Bergambar dekat landasan keretapi
Bagi anak-anak experience floating market di Bangkok

Day 6: Bangkok (Thonburi)-Kanchanaburi

Untuk ke Kanchanaburi perlu naik train dari station Thonburi. Harga tiket tak kira umur tetap kena bayar harga dewasa, jadi bergantung pada staff tiket juga. Kami beli tiga tiket, 300 Baht (RM40.80).

Hanya ada dua waktu train ke Kanchanaburi pada pukul 1.55 petang dan 5 petang. Perjalanan selama 4-5 jam. Kami naik train pukul 1:55 petang, tiba dekat Kanchanaburi dalam pukul 5:00 petang. Train tergendala sekejap.

Ambik tut-tut 80 Baht (RM10.80) ke tempat penginapan. Kami menginap di Sky Resort Kanchanaburi, saya tempah bilik sehari sebelum sampai sini. Harga bilik untuk dua malam (RM186.22).

Nak senang, kami sewa moto untuk dua hari di Kanchanaburi. 400 Baht + minyak (RM63.90), kena deposit 1000 Baht tapi kalau tinggal passport tak perlu deposit.

Seterusnya, kami bergerak ke Death Railyway Kanchanaburi. Tempat ini juga dikenali sebagai The Thailand-Burma Railway Centre, muzium sejarah Kereta Api Thailand-Burma dan pusat penyelidikan di Kanchanaburi. 

Belah malam, kami hanya lakukan aktiviti free and easy. Layan anak-anak mandi kolam.

Local train to Kanchanaburi, 100 Baht/pax
Tut tut di Kanchanaburi, kena pandai 'nego'
Death Railway, Kanchanaburi
Sky Resort Kanchanaburi

Day 7: Safari Kanchanaburi Park

Daripada dulu teringin bawa anak-anak datang ke Safari Kanchanaburi. Persekitaran safari dekat sini berbeza dengan sedia ada. Bayaran masuk untuk kanak-kanak bawah ketinggian 130cm sama macam harga dewasa.

(550×3 = 1650 Baht+350 baht = 2000 baht) +100 Baht (beli carrot), jumlah semua RM285.60. Aktiviti yang ditawarkan dekat Safari Kanchanaburi memang sesuai untuk kanak-kanak.

Lepas bayar, baru nak bas yang disediakan untuk bersiar-siar dalam kawasan safari park. Terdapat banyak haiwan seperti rusa, harimau bintang, gajah, buaya darat , zirafah dan banyak lagi.

Boleh bergambar dan bagi Ziraffah makan. Ada juga persembahan gajah dan buaya. Kemudian bergerak ke Thamkrasae. 40 minit juga perjalanan dari safari park.

Baru je nak gerak ke Erawan waterfall, tetiba Ellysha menangis katanya sakit perut. Jadi, kami semua pun balik hotel. Bila sampai je hotel tetiba Ellysha sihat walafiat, hilang dah sakit perut semua, rupanya ‘akai’ nak mandi pool.

Memang saya sengaja tempah penginapan yang ada kolam mandi. Nak bagi anak-anak seronok. Sebab sepanjang trip kami banyak stay hostel dorm.

Bagi girafah makan
Rabbit feeding
Safari Park Kanchaburi
Safari Park Kanchaburi
Safari Park Kanchaburi
Mandi pool di Sky Resort Kanchanaburi

Day 8: Kanchanaburi -Thonburi (Bangkok)

Untuk train balik ke Bangkok, saya ambil masa perjalanan belah petang. Belah pagi boleh layan budak-budak ni nak mandi kolam lagi sebelum check-out.

Selesai check-out, terus gerak cari makan dan menuju ke Thonburi station. Tiket train untuk tiga orang 300 Baht (RM40.80). Sampai Thonburi station, kami ambik teksi menuju ke penginapan seterusnya (130 Baht).

Daftar masuk di Inn station hostel untuk dua malam (RM212), sebenarnya harga 1500 Baht je tapi bila bayar guna kad dia caj 3% lagi.

Saya suka stay area ni sebab mudah nak cari makanan halal dan budak-budak pun senang nak makan sebab banyak pilihan. Hostel ini terletak di daerah Siam berhampiran Kuil Maha Pruettharam Worawihan.

Kanchanaburi eki (station)
King Octopus halal
Inn Stations Hostel Bangkok

Day 9: Bangkok – Chacucak Market

Pukul 9 pagi dah keluar merayau cari sarapan pagi + makan tengahari. Tips nak senang bila berjalan dengan anak-anak ini adalah sediakan makan secukupnya. Perut dah kenyang nanti ragam pun kurang.

Dari stesen Hua Lmpung naik metro ke Wat Arun harga entrance fees 20 Baht = 60 Baht (RM8.20) untuk tiga orang, train pula 81 Baht untuk empat orang (RM11).

Sampai di Wat Arun terus serbu ‘Jatujak Weekend Market’. Pandangan terus rambang, macam-macam tarikan ada di sini.

Train ke Chatuchak lebih kurang sama, 81baht (Rm11) juga. Kanak kanak 120cm ke bawah harga murah sedikit , manakala 120cm ke atas harga dewasa. Untuk Benyamin kena bayar harga dewasa sebab ketinggian dia melebihi had .

Puas ronda Chatuchak Market, terus balik hostel. Tambang balik berbeza dgn tambang pegi, rupanya start pagi sebelum 4 petang harga separuh manakala 4 petang ke atas harga tiket biasa 42 Baht seorang (168 Baht).

Chachucak market, dibuka pada hari jumaat, sabtu & ahad
Coconut ice cream (50 Baht)

Day 10: Lopburi, Aku Jejaki

Destinasi wish list! Dua tahun lepas ada datang tapi bunga semua dah tunduk layu seolah pemalu. Kali ini datang dengan anak-anak, bunga semua mekar, Alhamdulillah rezeki. Waktu terbaik untuk tengok bunga segar sekitar 7 pagi.

Dalam 9 pagi gerak ke kedai makan. Macam biasa selesaikan bab makan anak-anak. Tambang untuk local train ke Lopburi, tiket dua hala untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak dalam 90 Baht (RM24.60)

Tiga jam lebih perjalanan dari Bangkok ke Lopburi, kemudian kami ambik teksi untuk ke Sunflower field, 500 Baht (RM68). Bayaran masuk ke ladang bunga matahari sekitar 40 Baht seorang (RM5.40).

Usai aktiviti bergambar, kami patah balik ke Bangkok. Makan malam sekitar kawasan hostel dan berehat.

Bangkok station
Sunflower Garden, Lopburi
Time ni pukul 3 petang

Day 11: Bangkok – Hatyai

Beli tiket train secara online melalui www.thairailwayticket.comHarga tiket semua 3100 Baht (RM422). Dapat dua katil bawah dan dua katil atas. Bagi budak-budak experience naik sleep train.

Perjalanan dari Bangkok ke Hatyai lebih kurang 16 jam sahaja. Beli tiket last minute jadi banyak tempat duduk dah penuh. Selain train Bangkok ke Hatyai, anda boleh cari tiket terus sampai sempadan Malaysia.

Kami tak sempat beli direct train dari Bangkok terus ke padang Padang Besar, Perlis sebab dah habis.

Bangkok station
Sistem masih manual, ada pegawai semak tiket
Special express 37, Bangkok-Hatyai

Day 12: Hatyai – Padang Besar – Bukit Mertajam

Sampai di Hatyai junction, terus cari tiket train Hatyai ke Padang Besar. Jumlah tiket 200 Baht (RM27.20). Sepanjang trip, kami sempat main kad dan berbual panjang, layankan anak-anak untuk mengisi masa satu jam perjalanan.

Tiba di Padang Besar, macam biasa bila sampai sempadan, selesaikan urusan Imigresen Thai-Malaysia. Naik train seterusnya ke Bukit Mertajam. Anggaran tiket RM26.40. Untuk tiket KTM, anda boleh dapatkan 20% diskaun kalau tunjuk kad pengenalan.

Sampai di Bukit Mertajam, Penang. Alhamdullilah, trip 12 hari bersama anak-anak menjelajah ke dua buah negara Indochina berjalan lancar dan menyeronokkan.

Lain feeling kalau layan kerenah dan teletah anak-anak semasa melancong, ia ibarat momen terindah yang dikongsikan bersama.

Saya kongsi kisah pengembaraan ini sebagai pendorong serta motivasi buat wanita di luar sana, jika ‘Ibu Solo’ seperti saya mampu lakukan, orang lain pun boleh buat perkara yang sama.

Sesekali bercuti bersama anak-anak ke destinasi luar yang tidak pernah dikunjungi memberi pelbagai pengalaman baru dan perasaan yang sukar digambarkan, sama ada keseronokkan mahupun sebaliknya.

Kekuatan untuk rancang pengembaraan bersama anak-anak yang masih bersekolah terdetik setelah membaca kisah ibu tunggal yang menempuh proses perpisahan lalu kecewa dan mudah putus asa.

Ramai yang menganggap langit tidak lagi cerah dan sentiasa mendung, tapi pernah tak terfikir setelah hujan turun membasahi bumi, akan terserlah sinaran pelangi yang cukup indah. Live your life to the fullest

Family potrait kami untuk 2020

Jumlah Perbelanjaan

  • 12 hari 11 malam untuk empat orang tidak termasuk tiket flight dan makan
  • Penginapan (hostel+hotel): RM947.70
  • Pengangkutan (sleep train+bas+teksi+tuktuk) & bayaran masuk (tiket): RM2300
  • Tiket penerbangan saya beli last minute, seminggu sebelum terbang
  • Tiket AirAsia untuk 4 orang, sehala + 20 kg luggage (RM 1162.37)
  • Bajet keseluruhan: RM4410.37 (Perbelanjaan adalah subjektif, mengikut keselesaan & citarasa)
  • Facebook & Instagram: Rozani Heng

Persediaan & Persiapan

  • Travel insurance (insuran perjalanan). Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kehilangan, kemalangan/jatuh sakit, InsyaAllah urusan tuntutan akan dipermudahkan
  • Insurance Etiqa Takaful, yang menawarkan manfaat ‘cashless’ sekiranya dimasukkan hospital di luar negara tidak perlu mendahulukan duit & kemudian ‘claim’. Saya guna khidmat Ola Roadtax
  • Ubat-ubatan asas seperti demam, batuk, selsema & tahan sakit perlu ada
  • Makanan/snek sampingan seperti biskut, bijirin, roti, coklat & lain-lain
  • Duit ringgit/aktifkan kad untuk pengeluaran antarabangsa (sesak-sesak/berlaku kecemasan boleh guna)
Tags:

You Might also Like

1 Comment

  1. Anonymous January 14, 2020

    Menarik
    Berani

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!