Itinerari 3 Hari 2 Malam Ke Terengganu, Percutian Hujung Minggu Berbaloi Dengan Bajet RM360 - Verst Backpackerz );

Type to search

Backpackerz Itinerari Pilihan Backpackerz Pilihan Editor Visit Malaysia 2020

Itinerari 3 Hari 2 Malam Ke Terengganu, Percutian Hujung Minggu Berbaloi Dengan Bajet RM360

Avatar
Share
Terengganu
  • Pokok kelapa ‘Apple’ yang viral terletak di Kampung Pantai Rusila, Marang.
  • Bagi pelancong yang ingin menyusuri Sungai Kampung Seberang Takir, servis bot privasi turut ditawarkan.
  • Air Terjun Lata Tembakah terletak di Hutan Simpan Pelagat berdekatan Kampung Jabi, Jertih, satu jam memandu dari Kuala Terengganu.

Destinasi sekitar Terengganu terus menjadi antara tumpuan utama pelancongan domestik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Trend ketika ini pengunjung lebih gemar memilih percutian di rangkaian pulau peranginan yang popular seperti Perhentian, Kapas dan Pulau Redang.

Jadi, pada mereka yang kurang gemar percutian pulau dan pantai, Negeri Darul Iman ini menawarkan pelbagai segmen pelancongan yang menarik boleh dinikmati.

Terengganu
En Pamey di hadapan Masjid Kristal, Kuala Terengganu

Penulis ingin kongsikan itinerari trip ke Terengganu selama tiga hari dua malam oleh Fahmi Samsudin atau dikenali sebagai En Pamey bersama tiga rakannya pada awal September lalu.

Hari Pertama

Mula bertolak pada Jumaat malam sekitar jam 10 dari Shah Alam. Trip ke Terengganu ini lebih kepada food hunting, bergambar dan rekreasi alam semula jadi.

Alhamdulillah, selamat sampai di Nasi Dagang Atas Tol seawal jam 7 pagi. Masa kami datang tu kedai masih tutup, jadi pergi makan dekat gerai berdekatan.

Lokasi pertama bila sampai ke Terengganu adalah Kampung Pantai Rusila, Marang. Nak bergambar dekat pokok kelapa Apple yang pernah tular sebelum ini.

Kemudian menghala ke jeti Marang sebab nak singgah ke Pulau Kapas. Tiket bot pergi balik RM30, naik bot jam 10.30 pagi, balik jam 1.45 petang.

Memang tak rancang nak stay lama-lama dekat pulau. Cuaca pun agak panas masa tu.

Ambil peluang bergambar sekitar kawasan jeti Marang. Tarikan di sini adalah tembok penahan ombak sambil layan kudap-kudap yang ditawarkan di gerai berdekatan.

Macam biasa, tak sah kalau ke Pantai Timur tak makan keropok lekor.

Terengganu
Breakfast nasi dagang berhadapan kedai makan nasi dagang atas tol
Terengganu
Pokok kelapa Apple di Kampung Rusila, Marang
Terengganu
Bot ke Pulau Kapas

Lokasi seterusnya ke Kampung Jambu Bongkok, Marang. Dekat sini boleh layan angin pantai sambil bergambar di sebalik puluhan pokok kelapa.

Suasana perkampungan nelayan yang klasik antara penyebab kampung ini terkenal dalam kalangan jurugambar dan pelancong luar.

Sebagai ‘tetamu’ luar, jagalah adab, tingkah laku dan kebersihan sekitar kawasan tarikan.

Kami terus memandu ke Kuala Terengganu dan menginap di Kampung Seberang Takir (Airbnb).

Terengganu
Batu benteng penahan ombak di Jeti Marang
Terengganu
Instagram - @En.Pamey

Hari Kedua

Selamat pagi Kuala Terengganu! Jadi hari kedua kami nak berseronok mandi-manda di Air Terjun Lata Tembakah.

Sebelum mulakan perjalanan ke sana, tapau dulu nasi dagang tepi jalan sebagai bekal potluck nanti. Dekat sini, memang sedap nasi dagang atau menu sarapan pagi.

Meneruskan misi ke Air Terjun Lata Tembakah yang terletak kira-kira 130 km dari Kuala Terengganu. Satu jam memandu dari penginapan kami. Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM2.

#MustVisit

Lata Tembakah mempunyai tujuh tingkah air terjun dan banyak kolam-kolam takungan untuk anda berendam. Tingkat satu dan dua kebiasaannya menjadi pilihan keluarga terutama yang mempunyai anak kecil.

Lokasi ini sudah tidak asing lagi sebagai salah satu tarikan mesti dikunjungi di Terengganu.

Selesai mandi-manda, sebelum kami daftar masuk ke penginapan seterusnya, singgah ke Kampung Permaisuri layan celup tepung.

Penginapan malam kedua di Duyong Marina Resort. Malam kami dinner makanan laut; cukup lazat dan murah di Seafood Kuala Ibai bawah jambatan. Perut kenyang hati girang. Goodnight!

Hari Ketiga

Awal pagi dah bangun sebab aktiviti hari terakhir ini memerlukan sedikit masa, baru puas nanti.

Kami ambil bot private untuk pusing-pusing di Sungai Seberang Takir sambil menyusuri Masjid Kristal dan juga Jambatan Angkat Terengganu atau lebih popular Terengganu Drawbridge.

Kemudian kami dibawa ke Pasar Payang untuk ‘window shopping’. Tengahari tu kami check out dan terus bertolak balik ke Shah Alam peace yo! Alhamdulillah selamat sampai rumah sekitar 12 malam.

Terengganu
Menyusuri sungai & menyeberangi Jambatan Angkat Terengganu guna bot private
Terengganu
Trip satu kepala memang best!

Jadi siapa cakap dengan bajet yang minima anda tidak boleh bercuti dalam negara dengan pengalaman percutian yang unik serta menyeronokkan. #BeautifulTerengganu

Nikmati keindahan alam semula jadi dan tarikan bandar yang mengujakan di Terengganu. Terima kasih En Pamey atas perkongsian itinerari 3 hari 2 malam drive berempat ke Negeri Darul Iman.

Terengganu
Seafood bawah Jambatan Kuala Ibai. Semua ni cuma RM150 sahaja 4 orang makan

KIRA BAJET

  • Tol pergi balik – RM97
  • Minyak pergi balik – RM108
  • Bot Sungai Seberang Takir – RM50 sekali naik
  • Makan malam (seafood) – RM153 untuk 4 org
  • Kudapan & lain-lain – RM133.50
  • Bot Pulau Kapas – RM80
  • Penginapan Airbnb (hari pertama) – RM207
  • Penginapan Duyong Marina Resort (hari kedua) – RM600 untuk 2 bilik
  • Jumlah keseluruhan – RM1428.50
  • Perbelanjaan seorang – RM358+- (kira halal)

Terengganu
Pantai di Kampung Permaisuri

Seandainya korang terlepas, kita baru sahaja menyambut Hari Pelancongan Sedunia 2020 dengan tema “Tourism and Rural Development” – baca di sini

Tags:

1 Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!