GOPENG GUESTHOUSE & CAFE - Konsep Tradisi, Sarat Dengan Aktiviti... - Verst Itinerari

Type to search

Itinerari

GOPENG GUESTHOUSE & CAFE – Konsep Tradisi, Sarat Dengan Aktiviti…

Share

Terserlah dari jauh. Di sebalik deretan bangunan lama dan kehijauan alam yang mengililingi pekan Gopeng, terlihat bangunan Gopeng Guesthouse & Cafe dengan juntaian pepohon menghijau berselirat pada dinding bangunan.

Kehadiran team Backpackerz disambut pemilik rumah tamu, Siti Hajar Taher atau lebih mesra dengan panggilan Jaja. Kami dibawa melihat bilik kami (twin room) sambil Jaja menerangkan tentang sejarah Gopeng dan rumah tamu yang terletak berhadapan stesen bas Gopeng.

Menurutnya, Gopeng Guesthouse & Cafe yang diusahakan sejak tahun 2015 menawarkan bilik-bilik penginapan berkonsepkan rumah tradisional Melayu dengan harga yang berpatutan. Sejumlah 10 bilik disediakan iaitu bilik famili (satu), bilik single (dua), bilik twin (dua) dan bilik double (lima).

“Asalnya terfikir untuk buat bilik jenis dorm seperti apa yang selalu saya lihat di luar negara. Tetapi, bila fikir balik, kurang sesuai kerana budaya kita berbeza. Saya buat keputusan untuk tampilkan bilik berkonsepkan tradisional Melayu kerana saya mahu pelancong luar yang datang dapat mengenali budaya kita,” kata Jaja.

Setiap pengembara yang menginap di sini akan diberikan pakej sarapan pagi yang boleh dinikmati di tingkat bawah rumah tamu ini. Harga-harga bilik yang ditawarkan juga sangat berpatutan iaitu bermula dari RM50 untuk bilik single hinggalah bilik ‘paling mahal’ iaitu bilik famili pada RM120.

Walaupun tiada penghawa dingin di dalam bilik, waktu tidur malam anda tidak akan terganggu kerana penggunaan papan kayu (palet) untuk dinding bilik dengan corak berlubang menjadikan bilik terasa nyaman akibat udara keluar dan masuk. Tambahan pula di bahagian ruang tamu disediakan penghawa dingin yang berfungsi ‘untuk semua bilik’. Buka sahaja, tunggu beberapa minit dan anda akan terasa udara dingin mula memasuki bilik.

Menariknya, susun atur dan perabot dibuat sendiri dan ada di antaranya diambil daripada bahan-bahan semula jadi atau terbuang yang diubahsuai sehingga menjadi sesuatu yang unik. Pada masa yang sama, sesetengah hiasan lukisan dan tulisan yang terdapat pada dinding ruang penginapan dan kafe di sini dihasilkan oleh sukarelawan-sukarelawan luar negara yang datang menginap di Gopeng Guesthouse & Cafe.

“Kami beruntung kerana mereka (sukarelawan) yang menginap di sini membantu dalam kerja-kerja penambahbaikan. Ada yang melukis dan membuat tulisan untuk hiasan di luar guesthouse. Malah, pernah seorang bekas cef restoran makanan segera dari Perancis berkongsi resipi sajian pencuci mulut French Crepe yang menjadi antara sajian popular di kafe kami,” tambah Jaja.

BUKAN SEKADAR TEMPAT TIDUR

Gopeng Guesthouse & Cafe turut menawarkan aktiviti indoor dan outdoor untuk pengembara yang menginap di sini. Tidak hairanlah guesthouse ini sentiasa mendapat perhatian pengembara luar negara kerana mereka ingin mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan.
Untuk aktiviti indoor, Gopeng Guesthouse menganjurkan kelas mempelajari bahasa asing. Setakat ini, hanya bahasa Perancis yang diajar dan tenaga pengajar sememangnya datang dari luar negara. Selain mempelajari bahasa, Gopeng Guesthouse turut menawarkan sudut yang dipanggil ‘Book Exchange’ buat ulat buku yang datang ke sini membawa buku masing-masing untuk ditukarkan dengan buku-buku sedia ada di kafe.

Untuk pengembara luar negara pula, mereka boleh mencuba pelbagai permainan tradisional seperti congkak yang pastinya menghiburkan.

Teruja untuk aktiviti lasak berasaskan air dan alam semula jadi? Gopeng Guesthouse adalah tempatnya! Dengan kerjasama Radak Adventure, pengembara berpeluang melakukan aktiviti white water rafting di Sungai Kampar, waterfall abseiling setinggi 13 meter di Ulu Geruntum, tubing dan semestinya sunset hiking ke puncak Bukit Batu Putih.

Bukan selalu dapat melakukan aktiviti sebegini dan menginap di guesthouse berkonsepkan kampung sebegini. Buat anda yang tercari-cari lokasi untuk melakukan pelbagai aktiviti outdoor sambil menginap di guesthouse berkonsep tradisional, Gopeng Guesthouse & Cafe adalah pilihan tepat.

Alamat
No 10A, BWH DT (HS/11/5)
Jalan Sg Itek,31600,
Gopeng, Perak
Tel: 017-486 6845
www.gopenggusthouse.com

Fiq Mukri

Bermula dengan rekaan grafik sebelum memasuki dunia penulisan teknologi pengguna. Minat pada perkakasan PC, sistem permainan video, streaming, kucing, pelancongan dan NATURE HUNTING.

  • 1

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!