KLIA Crazy Sale Kembali Dengan Diskaun Sehingga 70% Bermula Khamis Ini
Share

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menganjurkan acara ‘KLIA Crazy Sale,’ yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 25 hingga 28 Mac ini.

Gambar: MAHB
Acara yang akan diadakan di Terminal 1, KLIA itu bakal menawarkan produk runcit eksklusif yang tidak dikenakan cukai seperti minyak wangi dan kosmetik, coklat dan manisan, pakaian dan aksesori fesyen serta produk gaya hidup seperti peranti elektronik.
Produk-produk ini adalah daripada lapan peruncit utama lapangan terbang termasuk Eraman, Valiram, Dimensi Eksklusif, Heinemann, Sprint Cass, DR Group, Karyaneka dan Retail One.
Jualan kali ini turut menampilkan kehadiran sulung jenama tempatan, Batik Boutique bagi pasaran lapangan terbang, kata pengendali lapangan terbang itu.
Tahun lalu, MAHB berjaya menganjurkan dua acara sama yang mendapat sambutan positif daripada pengunjung.

Gambar: MAHB
Pengurus Besar Kanan bagi Perkhidmatan Komersialnya, Hani Ezra Hussin, berkata kedua-dua acara jualan pada 2020 itu menerima maklum balas positif memandangkan MAHB membenarkan akses beli-belah kepada orang awam di lapangan terbang itu tanpa memerlukan pas masuk.
“Kami mengalu-alukan lebih 19,000 pembeli dan menyaksikan peningkatan purata jualan harian kepada 18 peratus daripada jualan pertama sehingga kedua,” katanya.
Sebagai langkah keselamatan, MAHB berkata, jumlah pembeli yang dibenarkan masuk di kawasan jualan pada satu-satu masa adalah terhad.
“Bagi memastikan keselamatan pembeli, pengunjung perlu melakukan pengimbasan terma, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dan menurutnya kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan masuk ke kawasan acara.