Lelaki Ini Kongsi Tip Pengembaraan ke Norway – Makanan, Penginapan & Mana Nak Pergi Verst Backpackerz );

Type to search

Backpackerz Insider

Lelaki Ini Kongsi Tip Pengembaraan ke Norway – Makanan, Penginapan & Mana Nak Pergi

Share

Bergen merupakan bandar kedua terbesar di Norway selepas ibu negaranya, Oslo. Ia terletak di barat Norway yang merupakan syurga kepada pencinta alam semula jadi dan pendaki-pendaki di seluruh dunia dengan keindahan geografi yang tersendiri termasuklah fjord – sebuah laluan air laut yang sempit seakan lembah di antara dua gunung yang terbentuk hasil dari hakisan glacier beribu tahun dahulu.

Fjord Norway sangat memukau dan mempesonakan dan ada di antara fjord di sini disenaraikan sebagai UNESCO World Heritage Site. Catatan di bawah merupakan pengalaman yang saudara Azwadi kamarudin ketika ke sana pada musim sejuk. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook https://www.facebook.com/azwadi.kamarudin

PENGANGKUTAN KE SANA

Berdasarkan pembacaan saya, menaiki keretapi dari Oslo ke Bergen merupakan pengalaman yang tidak boleh dilepaskan kerana keindahan panoramanya saujana mata memandang. Oleh itu, saya dan rakan memilih untuk mengambil tren dari Oslo Sentral Station ke Bergen.

Tiket dibeli melalui laman web mereka iaitu https://www.vy.no/en dengan harga NOK599 (RM270) beberapa minggu sebelum perjalanan kami. Memang mahal kerana itulah Norway! Perjalanan mengambil masa selama 6 jam 30 minit dan sengaja kami memilih tren jam 8:25 pagi dan sampai jam 2:57 petang kerana ingin menjamu mata dengan keindahan alam Norway. Tren akan berhenti di Bergen Station dan sebaiknya carilah penginapan yang dekat dengan Bergen Station.

PENGINAPAN
Kami menginap di sebuah guesthouse yang diberi nama Mira’s Guesthouse. Ia merupakan sebuah rumah penginapan dengan 6 buah bilik, 2 bilik mandi dan 3 tandas dan dilengkapi dengan dapur dan kelengkapan untuk memasak. Washer dan dryer juga disediakan kepada yang ingin menggunakannya.

Rumah ini terdiri daripada tiga tingkat (tidak termasuk aras bawah) dengan tangga yang kecil. Sekiranya perlu, buatlah pesanan untuk bilik nombor satu dan dua yang hanya berada di tingkat satu bagi memudahkan pergerakan. Lokasi sangat dekat dengan Bergen Station, stesen keretapi Floyen dan juga Bergen Port termasuklah Fish Market.

Bilik yang kami pilih adalah bilik nombor satu dengan tiga buah katil di dalamnya. Harga bilik tersebut ialah RM125/malam (Ini adalah harga di musim sejuk, kami kurang pasti harga di musim lain bagaimana). Wifi turut disediakan.

MANA NAK PERGI?

  1. Semestinya tujuan utama ke sini adalah ingin menikmati keindahan fjord. Sekiranya anda ingin menikmati fjordcruise di Bergen, anda bolehlah mengambil cruise dari Bergen menuju ke Mostraumen dengan syarikat Rodne Fjord Cruise. Tiket boleh dibeli secara online tau I kaunter maklumat berdekatan dengan Fish Market di kawasan Bergen Port. Untuk tiga jam perjalanan bermula jam 10 pagi, kami telah membayar sebanyak NOK544 (RM245) setelah mendapat 20% diskaun kerana musim sejuk (harga asal NOK680).
  2. Floyen merupakan tempat wajib pergi di Bergen kerana ke sini, anda boleh menikmati pandangan Bergen 400 m dari paras laut. Anda boleh mendaki sekiranya mahu, tetapi cara paling senang ialah dengan menaiki Funicular, keretapi ala-ala di Bukit Bendera. Untuk ke sini, anda perlu ke Floybanen dengan membayar tiket dengan harga NOK50 (RM23) sehala. Bukan sahaja anda dapat menikmati pemandangan indah Bergen, anda juga boleh trekking di kawasan ini dengan keindahan alam.
  3. Bryggen merupakan pelabuhan lama Bergen dengan konsep bangunan kayu yang sangat unik dan berwarna-warni. Bryggen merupakan salah satu UNESCO World Heritage Centre. Terdapat banyak kedai cenderamata di kawasan bangunan ini.
  4. Salah satu pakej tour yang sangat direkemen ialah “Norway in a Nut Shell.” Namun memandangkan poket kami sudah ketirisan, maka kami tidak melanjutkan perjalanan dengan pakej ini. Kami cuba untuk DIY dengan menggunakan itinerari mereka, namun ternyata untuk tiket keretapi sahaja, telah menelan belanja ratusan ringgit sehala untuk ke Flam Station. Jadi kepada yang mahu menikmati fjordcruise yang lebih menarik, anda bolehlah menginap sehari dua di Flam kemudian barulah ke Bergen.
  5. Terdapat banyak tempat berdekatan (3 jam) yang anda perlu lawati sekiranya anda seorang pendaki seperti Trolltunga dan Kjerag. Saya pasti, anda tidak akan menyesal.

MAKANAN
Kami lebih suka membeli barang dapur di Coop Extra kemudian memasak sendiri di rumah. Terliur salmon beli salmon, terliur nasi beli nasi dan buat nasi goreng. Untuk kedai makanan halal, kami ada menghubungi Bergen Moske melalui Facebook dan mereka mencadangkan kami ke Nygardsgaten Street sekiranya mahu menikmati makanan dari kedai halal.

WIFI
Saya pernah travel solo sebulan di Eropah tanpa internet dan hanya menggunakan internet di tempat penginapan, di tempat awam atau di kedai-kedai makan.

Namun kali ini, bagi memudahkan untuk berhubung, kami telah mendapatkan kad sim untuk kegunaan 15 hari dengan data 6 gb melalui https://hello1010.mycontact dengan harga RM54/kad sim. Alhamdulillah, sepanjang dua minggu di Eropah, hanya 2 gb data sahaja yang kami gunakan.

PENGANGKUTAN PULANG
Memandangkan kami telah menyaksikan Norway dari darat semasa datang ke Bergen, kami pulang ke Oslo dengan menaiki jalan udara.

Tags:
Fiq Mukri

Bermula dengan rekaan grafik sebelum memasuki dunia penulisan teknologi pengguna. Minat pada perkakasan PC, sistem permainan video, streaming, kucing, pelancongan dan NATURE HUNTING.

  • 1

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!