Menara Kuantan 188 Bakal Rancakkan Sektor Pelancongan Di Pahang );

Type to search

Backpackerz Berita

Menara Kuantan 188 Bakal Rancakkan Sektor Pelancongan Di Pahang

Share
Menara Kuantan 188

Mercu baharu bandar raya Kuantan, Menara Kuantan 188 telah dirasmikan malam tadi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis perasmian itu turut diadakan serentak dengan perasmian Jambatan Putra, iaitu jambatan kedua Tanjung Lumpur.

Seri Paduka Baginda menyempurnakan perasmian berkenaan menerusi rakaman video yang dimainkan di skrin gergasi pada majlis yang berlangsung di pekarangan Menara Kuantan 188.

Rekaan menara itu mendapat inspirasi daripada daun dan bunga pokok Teruntum putih yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan suatu ketika dahulu.

Menara tertinggi di pantai timur itu pada mulanya dinamakan sebagai Menara Teruntum sebelum ditukar kepada Menara Kuantan 188 bersempena ketinggiannya yang berukuran 188 meter.

Menara itumerupakan sebahagian daripada siri pembangunan bagi menambah baik Kuantan Waterfront yang sedang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata menara itu bakal memberi kesan positif dan limpahan kepada lokasi-lokasi berhampiran untuk menjadi tarikan pelancongan.

Selain Menara Kuantan 188, komponen yang termasuk dalam projek pembangunan Kuantan Waterfront ialah Kuantan Esplanade, Mercu Junjung Duli, Laman Teruntum dan Serambi Teruntum sebagai pusat sehenti kepada produk perusahaan kecil dan sederhana keluaran usahawan Pahang.

“Menara Kuantan 188 dari puncak bangunannya menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, yang juga boleh menaiki lif kaca sehingga ke lantai pemerhatian pada ketinggian 92m untuk melihat pemandangan 360 darjah seluruh bandaraya Kuantan.

“Manakala aras tinjau terbuka pula membolehkan penggemar sukan lasak mencuba aktiviti seperti ‘skywalk’, pendakian tiang, serta terjunan berpandu atau ‘guided fall’,” kata Wan Rosdy pada majlis perasmian tersebut.

Selain itu, beliau menyifatkan perasmian ‘dua dalam satu’ itu sebagai pelengkap kepada peristiwa bersejarah Pahang, iaitu pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya pada Khamis lalu.

Sumber: Bernama
Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!