Pelancong Malaysia 'Terambil' Handphone di Airport Istanbul & Nyaris Didakwa di Mahkamah Turki, Mujur Tour Leader Bertanggungjawab Verst Backpackerz );

Type to search

Backpackerz Isu Pilihan Backpackerz Pilihan Editor Tips

Pelancong Malaysia ‘Terambil’ Handphone di Airport Istanbul & Nyaris Didakwa di Mahkamah Turki, Mujur Tour Leader Bertanggungjawab

Share

Tidak salah merancang percutian ke luar negara sekiranya itu sudah menjadi wish list anda.

Cuma, segelintir daripada kita tidak peka atau terlepas hal-hal yang tidak boleh dipandang remeh terutama melibatkan kesalahan umum.

Sesebuah negara itu pastinya mempunyai undang-undang yang termaktub yang perlu dipatuhi tanpa mengira status anda sebagai pelancong.

Terdapat satu kes yang menjadi perhatian penulis dalam grup Backpackers Buddies Malaysia (BBM) hari ini. 

Pengalaman yang dikongsikan oleh Mohd Firdaus Madzlan (berkaca mata)

Pengalaman tersebut telah dimuatnaik oleh Mohd Firdaus Madzlan, seorang tour leader group daripada Mantop Travel. Berikut adalah perkongsiannya. 

SUKARNYA PROSES & URUSAN WARGA LUAR NEGARA DI MAHKAMAH TURKI

Setelah seminggu menggembara di Turki, group besar kami seramai 43 orang menuju ke Airport untuk pulang ke Malaysia.

Setelah selesai check-in bagasi, seluruh ahli kumpulan rehat di satu sudut sambil menikmati makanan bungkus yang disediakan.

Berbaki 1 jam 30 minit sebelum terbang, saya sebagai tour leader group mengarahkan semua agar bergerak ke imegresen dan kastam untuk menuju ke Gate pelepasan.

Maka terjadilah sebuah kisah apabila salah seorang daripada kumpulan itu ‘terambil’ sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 Max Pro yang di cas berhampiran tempat rehat mereka.

Beliau mengambil telefon tersebut dengan menyangka ianya adalah milik salah seorang daripada kalangan kami yang ketika itu sebahagian besar telah bergerak masuk ke dalam.

Kesannya, pemilik sebenar yang menyedari telefonya tiada di tempat asal membuat laporan polis.

Dari dapatan cctv, polis berjaya menjejaki dan terus membawa keluar suspek dari pintu pelepasan walaupun kami cuba membantu dan menjelaskan isu sebenar.

Ketika itu masa berbaki 40 minit sebelum berlepas. Setelah menghubungi pihak travel dan agent, saya mengambil keputusan tidak terbang bersama dengan kumpulan lain.

CCTV Fungsi 24/7

Peringatan. Turkey mempunyai rangkaian cctv yang sangat luas sehingga dalam setiap kenderaan awam bus, metro dan lain-lain juga mempunyai cctv.

Maka, jangan bermudah-mudah walaupun ia bertujuan baik, mungkin akan disalah tafsir.

Istanbul Anadolu Adliyesi

Jadikan ia sebagai pengajaran. Setelah polis airport membuat laporan atas kesalahan mencuri, tertuduh bermalam sehari di jail sebelum di bawa ke mahkamah untuk pendakwaan pada keesokkan harinya.

Pendakwaraya telah memutuskan tertuduh mesti melaporkan diri setiap hari Isnin setiap minggu sehingga siasatan selesai.

Kami dimaklumkan tempoh siasatan sebelum ke pendengaran kes mengambil masa 2 – 4 bulan. Bukan itu sahaja, passport juga telah disekat dalam sistem dan tertuduh tidak dibenarkan keluar dari Turkey. Subhanallah.

Saya telah menghubungi seorang pegawai Kedutaan juga persatuan dan individu untuk membantu isu ini.

Konklusinya, kalau anda hadapi masalah di Turkey, hubungilah individu kenalan anda atau persatuan pelajar kerana lebih berbaloi.

Walaupun tidak beramal undang-undang, berbekalkan sedikit ilmu perundangan, saya bersama tertuduh kembali kembali ke mahkamah untuk membuat rayuan agar kes ini dipercepatkan.

Malangnya di mahkamah, tiada individu yang mampu berbahasa English.

Kes dikendali di Kompleks Mahkamah Istanbul (Istanbul Anadolu Aldiyesi) yang merupakan Kompleks mahkamah terbesar di dunia.

Daripada ‘terambil’ dituduh mencuri

Setelah 4 jam ditolak sana dan sini, barulah kami dapat bertemu dengan penterjemah asal kes ini yang kemudiannya membawa kami bertemu dengan pendakwaraya bagi buat rayuan.

Rayuan kami telah ditolak mentah-mentah. Kes ini diklasifikasi sebagai kes jenayah kerana mencuri.

Tempoh bantahan pendakwaan diberikan selama 7 hari & kita boleh mencadangkan kepada mereka untuk kes ini dibicarakan di Malaysia dengan alasan-alasan yang dikepilkan.

Apabila ada kes sebegini, kita perlukan seorang peguam & penterjemah undang-undang (judical translator) untuk mewakili kita selesaikan kes ini.

Setelah bertemu dan berunding harga, kami telah membuat Notary awam pengakuan lalu melantik peguam dan memberi hak untuk menjadi wakil kami.

Setelah hak diberikan barulah peguam boleh membuka fail kita untuk proses seterusnya.

Alangkah terkejutnya, laporan polis menyatakan pengadu warganegara Magribi yang bekerja di Turki ingin meneruskan kes ini, walhal saya sendiri bertemu pengadu di airport pada malam kejadian.

Beliau menyatakan telah memaafkan tertuduh. Polis telah mengambil kesempatan mengambil tandatangan beliau atas laporan berbahasa Turki.

Mungkin polis nak kes ini diteruskan sebab tak nak bertanggungjawab ke atas penerbangan yang telah berlepas.

Setelah seminggu berulang-alik ke mahkamah, Alhamdulillah kes ini telah ditarik oleh pengadu.

Pemilik telefon, Ismail (kiri) berusia 25 tahun dari Morocco, bekerja di Bodrum Turki sebagai penterjemah & menguasai 7 bahasa

Akhirnya, saya kongsikan beberapa tips dan apabila ada mempunyai masalah dengan pihak polis ataupun mahkamah di Turki.

  • Maklumkan kepada Tour Leader, Tour Guider, Agensi, Kedutaan, individu sekiranya anda di tahan di sana.
  • Pastikan anda mengetahui isi laporan & pendakwaan sebelum ditandatangani. Sila gunakan translate app.
  • Walaupun keputusan awal telah keluar, masih ada peluang untuk rayuan, jangan duduk diam & malu bertanya.
  • Oleh kerana kita orang luar, maka lantik peguam adalah perkara tepat untuk menyelesaikan kes ini kerana mereka lebih mengetahui undang-undang setempat.
  • Banyakkan bersabar

Kos yang perlu ditanggung oleh pihak keluarga tertuduh

  • Lawyer: 400 USD (RM1,723)
  • Kos judicial translator: RM220
  • Kos terjemah & notary awam: RM470
  • Hotel, makan & kenderaan untuk sehari: RM150-200 (dua orang)

Aboasma
14 Mac 2020
Istanbul Anadolu Aldiyesi, Kartal,
Istanbul, Turkey


Pengajaran yang boleh dijadikan panduan adalah sekiranya terjumpa telefon bimbit yang tertinggal mahupun sengaja ditinggalkan, sebaiknya lapor kepada pihak berwajib.

Jangan memandai-mandai ambik tindakan sendiri. Kelak jika kantoi mahupun ditimpa masalah, memang semua akan terkesan. Lain negara, lain penguatkuasaan undang-undang mereka.

Last but not least, kredit kepada Mohd Firdaus Madzlan dan mereka yang sanggup bantu tidak kira daripada segi wang ringgit, masa, konsultansi dan sebagainya.

Akhir bicara, pengalaman dan perkongsian ilmu berharga dari Mohd Firdaus Madzlan bukan untuk kita menilai mahupun menunding jari. Paling penting, empunya barang sedia memaafkan.

Anggaplah ia satu pengalaman dan tips berguna buat kita semua yang bergelar pengembara FIT atau pelancong bercuti menggunakan travel agent.

Perkongsian asal boleh dirujuk pada Facebook Mohd Firdaus Madzlan.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *