Kapal Persiaran Star Pisces Kembali Belayar 13 Mei Ini
Share

Kapal persiaran Star Pisces akan menyambung semula operasi mereka pada 13 Mei ini, bersamaan tarikh bagi Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dalam satu kenyataan bersama, Genting Cruise Lines dan Penang Port akan melancarkan semula operasi kapal persiaran tersebut yang melibatkan destinasi Pulau Pinang-Pulau Langkawi.
Menurut kenyataan tersebut, kapal yang boleh memuatkan sehingga 1,600 orang itu akan menjadi kapal persiaran pertama yang memulakan semula operasi di negara ini.
Pakej pelayaran yang akan ditawarkan termasuk pelayaran dua malam Langkawi Escape dan pelayaran satu malam Straits of Malacca yang akan bertolak dari Pulau Pinang.
Langkawi Escape akan belayar setiap Jumaat dan Ahad manakala Straits of Malacca akan belayar setiap Selasa, Rabu Khamis.
Naib Presiden Jualan, Genting Cruise Lines di Malaysia, Cynthia Lee berkata pembukaan semula operasi Star Pisces akan memberi manfaat kepada pengusaha produk pelancongan seperti pengusaha hotel, restoran dan peniaga yang terjejas sektor pelancongan tempatan di lokasi kapal berkenaan.
“Operasi semula kapal persiaran ini juga akan dapat memulihkan seluruh rantai bekalan berkaitan seperti barangan keperluan, perkhidmatan dan bahan-bahan berkaitan operasi pelayaran.
“Ini adalah sejajar dengan prinsip panduan Genting Cruise Lines untuk menyokong dan membangunkan semula ekonomi sektor pelayaran di setiap pelabuhan yang Genting Cruise Lines memulakan semula operasinya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Genting Cruise Lines, pelayaran tersebut akan mengikut SOP yang ketat bagi memastikan perjalanan pergi dan balik yang selamat.