5 Tarikan Menarik & Unik di Pasar Terapung Pulau Suri, 'Floating Market' Pertama di Malaysia - Verst Backpackerz

Type to search

Backpackerz Insider Pilihan Editor Visit Malaysia 2020

5 Tarikan Menarik & Unik di Pasar Terapung Pulau Suri, ‘Floating Market’ Pertama di Malaysia

Share
  • Pulau Suri merupakan salah satu daripada 100 gugusan pulau yang terdapat di Tumpat, Kelantan.
  • Kira-kira 800 hingga 1000 pengunjung datang ke Pasar Terapung Pulau Suri setiap Sabtu.
  • Pulau Suri dinamakan sempena nama seorang wanita yang pernah menetap di pulau ini.

Sewaktu kunjungan penulis bersama rakan-rakan media lain ke Kampung Pulau Suri awal Julai lalu, kami cukup teruja untuk meninjau rupa sebenar pasar terapung pertama di Malaysia.

Manakan tidak teruja, floating market di Kampung Pulau Suri ini menjadi destinasi wajib singgah jika ke Tumpat.

Tidak disangka-sangka, hampir 1 jam 20 minit penulis dan rakan media meluangkan masa tanpa terdetik rasa bosan sepanjang berada di Pasar Terapung Pulau Suri.

Selamat datang ke Pasar Terapung Pulau Suri
Pasar Terapung Pulau Suri
Persekitaran mesra keluarga di Pasar Terapung Pulau Suri

Jenama Pasar Terapung Pulau Suri

Kenapa begitu tinggi pujian diberikan? Datang dan alami sendiri pengalaman cukup luar biasa. Kehadiran kira-kira 800 hingga 1000 pengunjung setiap Sabtu sebagai bukti.

Setakat hari ini, branding Pasar Terapung Pulau Suri telah meniti di bibir pelancong luar Kelantan. Seperti tajuk lagu kumpulan EYE, Namamu Kini Jadi Sebutan.

Kalau anda teruja dengan tarikan serta pengalaman mengunjungi floating market di Bangkok dan Hatyai, ingin penulis tegaskan satu perkara harap tidak terasa.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri

Secara keseluruhannya, Pasar Terapung Pulau Suri berjaya mengetengahkan serta menggayakan jenama “Floating Market” versi Malaysia dengan cara tersendiri.

Makan dalam tempurung kelapa
Pasar Terapung Pulau Suri
Persembahan dikir barat

Berikut adalah beberapa tarikan, keunikkan serta tawaran yang boleh didapati di Pasar Terapung Pulau Suri.

1 – Konsep Pasar Terapung

Berbeza dengan pasar terapung yang sinonim di Damnoen Saduak Floating Market, Bangkok, pengunjung membeli makanan atau kraftangan di kawasan lot kedai terletak bersebelahan sungai.

Sebaliknya di sini, pengunjung sendiri berada di atas pulau yang luas dan perlu menaiki bot menyusuri Sungai Kelantan.

Manakala peniaga akan datang dengan perahu untuk menjual produk makanan. Pengunjung di darat membeli secara terus dengan peniaga di atas perahu.

Di Hatyai pula, pengunjung berada di tepi tebing atau jalan tar, membeli dari peniaga yang berada di atas sungai.

Perlu menaiki bot tambang ke Pasar Terapung Pulau Suri
Pasar Terapung Pulau Suri
Pengunjung perlu menaiki sampan atau bot yang disediakan pengusaha tempatan
Peniaga di atas perahu & pengunjung di atas pulau (darat)

Bukan sengaja untuk menyentuh isu peniaga bertudung atau tidak, namun ia menjadi ‘tiket’ kepada peniaga bersikap tidak jujur lalu menjadikan konteks makanan halal sebagai ‘modal jualan’.

Hal ini bukan untuk didebat namun sekadar perkongsian untuk membezakan konsep pasar terapung yang wujud.

Uniknya di Pasar Terapung Pulau Suri, peniaga hanya melibatkan penduduk pulau itu sendiri, tidak dibuka kepada orang luar.

Kaedah digunakan ini adalah untuk mengajak penduduk asal keluar dari norma harian sebagai nelayan atau peniaga kerepek semata-mata.

Soal makanan dan penyediaan halal itu sendiri tidak perlu dibandingkan, penulis yakin pengunjung akan menikmati makanan tanpa ragu-ragu. All is original Kelantan Boh!

Antara menu yang ditawarkan

Pasar terapung ini dilihat mampu meningkatkan pendapatan penduduk kampung serta memperkasakan produk tempatan yang boleh diketengahkan.

Penulis mengharapkan masyarakat di sini rebut peluang menjadi seperti beluncas yang berani keluar dari kepompong menjadi seekor rama-rama yang cantik.

Sesungguhnya, keistimewaan Pulau Suri dan tarikan pasar terapung cukup luar biasa!

Antara peniaga tempatan yang sentiasa melemparkan senyuman

2 – Tawaran Variasi Makanan & Murah Gila

Konsep jualan yang dibuat memberikan pengalaman seakan-akan pasar terapung di Thailand, namun vibes lokal lebih menyeronokkan. 

Bayangkan, terdapat 20 perahu yang menjual aneka makanan berat, makanan ringan, pencuci mulut, sajian tempatan dan macam-macam.

Penulis akui, memang rambang mata dan terliur dibuatnya melihat kerabu bunga nipah, nasi kerabu, jeli kelapa, etok-etok salai, lokan bakar cheese, gula melaka, madu, nasi berlauk pagi serta pelbagai kuih tradisional.

Nasi kerabu ayam percik
Kerabu bunga nipah - Ekspresi Media Kelantan 2020

Difahamkan, citarasa makanan disini juga sudah upgrade bagi memenuhi selera pengunjung luar Kelantan. 

Antara menu menarik yang boleh anda rasa seperti sotong sumbat, ikan talapia bakar, pari bakar, ikan patin tempoyak dan penulis consider harga yang dikenakan cukup murah.

Nasi kerabu RM3 dengan ikan celup tepung. Kalau tambah lauk baru RM4. Nasihat penulis, ‘toksah’ berangan lah nak diet kalau datang ke pasar terapung Pulau Suri.

Gelaran ‘syurga makanan’ memang selari dengan Kelantan kalau anda inginkan percutian jalan-jalan cari makan.

Pasar Terapung Pulau Suri
Dulu tak sampai 10 perahu peniaga, kini terdapat 20 peniaga.
Buah-buahan & rojak pun ada

3 – Pertandingan Ayam Berkokok, Penonton Bersorak

Kalau pengunjung luar dengar nama pertandingan ini, rata-rata ramai yang tidak tahu bagaimana acara ini dijalankan.

Inilah keunikkan yang disajikan buat pengunjung sekiranya berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri.

Kami juga bernasib baik, pertandingan ayam berkokok baru sahaja bermula. Timing just nice. Penulis sempat merakam momen serta aksi menarik sepanjang acara. Layan gambar-gambar di bawah. 

Pemilik ayam sedang memanggil haiwan ternakannya
Pantai Suri
Ayam jantan baka hutan hibrid

Pertandingan mendengar kokokan ayam yang juga satu permainan tradisi Kelantan kembali dihidupkan.

Acara kokokan ayam atau ayam sorak mempertandingkan ayam jantan baka hutan hibrid terpilih yang nyaring berkokok dan sorak paling banyak.

Suasana pertandingan ibarat satu pesta selain mewujudkan aktiviti berunsur kemasyarakatan dan kekeluargaan dalam kalangan penduduk kampung.

Panggilan dan teriakan pemilik ayam di luar gelanggang seolah memberi arahan kepada haiwan peliharaan mereka untuk melontar ‘suara’ dengan kerap.

Floating market Pulau Suri
Pertandingan Ayam Berkokok
Floating market Pulau Suri
Pengunjung pasar terapung peluang mendekati pertandingan tradisi Kelantan

Ayam hutan yang bersorak dengan kuat dan jumlah kokokan terbanyak akan dipilih sebagai pemenang oleh juri ‘otai’.

Penulis sempat bertanya apakah hadiah paling lumayan yang pernah diberikan penganjur pertandingan ayam berkokok di Kelantan.

Jangan terkejut ye, sebuah motosikal ‘Y Suku’ pernah dijadikan grand prize buat peserta.

Itulah keistimewaan aktiviti penduduk setempat di Pulau Suri selain persembahan dikir barat yang sudah sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang.

Floating market Kelantan
Salah seorang peserta cilik bersama ayam peliharaannya
Floating market Kelantan
Aksi ayam jantan jaguh kampung
Peserta Ekspresi Media Kelantan turut menjadi 'awok awok'

4 – Demonstrasi Pembuatan Kerabu Bunga Nipah

Kalau korang nak rasa kerabu bunga nipah paling ‘kick’, sudah tentu hanya di Pasar Terapung Pulau Suri.

Antara bahan yang digunakan adalah ikan, santan, bawang merah, bawang besar, cili api, bunga kantan, lada merah, bunga nipah, garam dan serbuk lada hitam.

Bunga nipah mudah didapati di Pantai Suri dan kebetulan adalah sumber ekonomi serta pendapatan penduduk setempat. Bunga nipah di sini tidak bermusim dan sentiasa ada.

kerabu bunga nipah
Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia (kanan) & Hafiz Hazin, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur (dua dari kanan)
Kerabu bunga nipah
Kerabu bunga nipah asalnya dari Kampung Pantai Suri

Hidangan ini menjadi menu wajib untuk majlis kenduri sekitar Tumpat. Difahamkan, kerabu bunga nipah adalah resepi asal penduduk Pantai Suri sebelum dibawa keluar dan dikomersialkan.

Pendek kata, kalau datang ke Pulau Suri, kerabu bunga nipah antara sajian paling ‘top’ di sini. Harga satu bekas baru RM3 sahaja boh! 

Floating market Pulau Suri Kelantan
Demonstrasi pembuatan kerabu bunga nipah
Floating market pulau suri
Selain makanan, cenderamata & topi turut dijual

5 – Berkayak ke Pulau Suri

Aktiviti ini penulis tidak sempat melakukannya semasa kunjungan ke Pasar Terapung Pulau Suri.

Penulis sempat membaca perkongsian penulis Muhamaad Razis Ismail yang membuat kelainan dengan menyewa kayak mendayung sekitar Pulau Suri. (Baca di sini)

Sebelum memulakan perjalanan, dapatkan khidmat jurupandu yang terlatih kerana anda akan berkayak menyelusuri kuala sungai yang tenang dan sedikit berombak.

Semestinya aktiviti berkayak ini pasti menjadi nilai tambahan untuk dikomersialkan kepada pengunjung yang gemarkan cabaran (adventure) jika berkunjung ke sini.

Berehat di Pulau Renjuna/FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
Floating market pulau suri
Pemandangan yang indah di Pulau Suri

Tinjauan penulis setelah menjejakkan kaki ke Pulau Suri mendapati pasar terapung ini berpotensi dijadikan tarikan utama (wajib dilawati) di Tumpat bersempena Tahun Melawat Kelantan 2020.

Terima kasih Tourism Malaysia (Bahagian Komunikasi), Tourism Malaysia Negeri serta SuriMasSeroja atas inisiatif, promosi dan pendedahan berkenaan pasar terapung pertama di Malaysia. Syabas! 

Sebagai penutup perkongsian, penulis merasakan lawatan Ekspresi Media Kelantan 2020 ke Pulau Suri ini bukan noktah…

Diri ini pasti merindui keenakan makanan tempatan seperti kerabu bunga nipah serta keramahan penduduk Kampung Pantai Suri melayani tetamu.

Sekiranya anda seorang pemburu makanan tempatan, apa kata singgah ke 5 port makan menarik sekitar Kota Bharu – baca di sini.

Floating market pulau suri
Lunch di Pulau Teluk Renjuna
Pantai Suri
Restoran Sri Tanjung menawarkan sajian kampung & pemandangan sungai yang menenangkan

INFO

  • Pelancong yang ingin berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri boleh menaiki bot di jeti Kok Majid, Tumpat (40 minit) atau dari jeti Kuala Besar (15 minit).
  • Pasar Terapung Pulau Suri hanya dibuka setiap hari Sabtu, waktu beroperasi dari 8 pagi hingga 3 petang.
  • Bayaran RM15 seorang untuk tambang bot (pergi balik) serta tiket masuk ke pasar terapung jika dari Jeti Medan Ikan Bakar, Kuala Besar (pakej).
  • Caj masuk ke Pasar Terapung Pulau Suri RM1 seorang (dewasa) & 12 tahun kebawah adalah percuma.
  • Selain makanan, terdapat beberapa kiosk untuk cenderatama, tudung, topi & lain-lain.
  • Kemudahan fasiliti seperti surau, tandas, pondok, ruang makan & jeti akan dinaiktaraf secara berperingkat demi keselesaan pengunjung serta peniaga.
Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!