Thailand Bakal Perkenalkan Lawatan Ganja Dalam Sektor Pelancongan Pada 2021 - Verst Backpackerz );

Type to search

Backpackerz Insider Pilihan Backpackerz Pilihan Editor

Thailand Bakal Perkenalkan Lawatan Ganja Dalam Sektor Pelancongan Pada 2021

Avatar
Share
Lawatan Ganja

Sektor pelancongan Thailand nampaknya akan menjadi lebih menarik tahun hadapan apabila kerajaan bakal memperkenalkan lawatan ganja atau marijuana tour pertama di Asia Tenggara.

Kementerian Pelancongan dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Awam Thailand akan melancarkan lawatan tersebut itu selepas draf bagi penanaman ganja di seluruh Thailand dimuktamadkan.

Tujuan lawatan berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai ganja untuk tujuan perubatan dan memberi pengetahuan kepada mereka yang berminat untuk menanam, kata Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn.

Lapan wilayah yang mungkin menjadi sebahagian daripada rancangan tersebut adalah Mae Hong Son, Lampang, Samut Songkhram, Sakon Nakhon, Nakhon Ratchasima, Buri Ram, Phatthalung dan Chon Buri.

“Pada peringkat awal, program ini bertujuan untuk mendidik penduduk setempat yang ingin membina perusahaan komuniti dan berusaha untuk menjadi penanam ganja yang sah. Program ini akan membuka jalan bagi pemahaman asas mengenai tumbuhan tersebut dan manfaatnya dari segi ekonomi,” kata Phiphat.

Katanya, Jabatan Pelancongan telah ditugaskan untuk bekerjasama dengan Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Thailand dalam mempromosikan pelancongan perubatan, termasuk herba dan ganja untuk perubatan tradisional.

Di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua jabatan tersebut, mereka ingin merangsang pasaran tempatan dan antarabangsa dengan mengembangkan dan mempromosikan lawatan ganja.

Tambah Phiphat, kerjasama ini akan membantu warga tempatan mewujudkan sumber pendapatan baru dengan kemahiran dan pengetahuan yang lebih baik mengenai lawatan ganja dan herba.

Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul menuai pokok ganja pertama yang ditanam dalam sistem tertutup yang diusahakan oleh Universiti Maejo di Chiang Mai awal tahun ini. [Gambar: Bangkok Post]

Ogos lalu, kabinet Thailand telah bersetuju cadangan untuk mengubah Undang-Undang Narkotik bagi membolehkan pengamal perubatan swasta, termasuk beberapa pengamal perubatan tradisional, dan petani untuk menanam ganja bagi tujuan perubatan.

Keputusan itu susulan daripada legalisasi ganja terkawal pada tahun 2018, yang menyaksikan Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penanamannya, mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Walaubagaimanapun, penggunaan ganja secara rekreasi masih tidak dibenarkan di Thailand.

Phiphat berkata kerajaan bersedia untuk menganjurkan ekspo kanabis di Buri Ram Oktober depan, setelah edisi pertama diadakan pada tahun 2019.

Acara itu dapat mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai pusat perubatan marijuana di rantau ini kerana ia akan mengalu-alukan penjual dan pembeli antarabangsa yang terlibat dengan sains perubatan ini, katanya.

Acara itu sepatutnya diadakan pada tahun ini, tetapi ditangguhkan akibat pandemik yang melanda.

Phiphat berkata program lawatan tersebut akan meyakinkan masyarakat setempat yang masih khuatir tentang polisi berkenaan.

Aktiviti lawatan itu bertujuan untuk mendidik dari setiap aspek, daripada penanaman, peraturan dan cara untuk memperoleh sumber pendapatan daripada penanaman ganja.

“Kita harus menganggap marijuana sebagai warisan dari masa lalu yang patut dipelihara. Masyarakat Thai telah menggunakan tanaman ini sebagai ubat sejak zaman Raja Narai [abad ke-17],” katanya.

“Ciri-ciri perubatannya kemudian disahkan oleh penyelidikan moden.”

[Sumber: Bangkok Post]
Tags:

5 Comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!