Memilih Atau Takut Salah Pilih? Berhenti Pertikaikan Mereka Yang Masih Single - Verst Bae & Beauty );

Type to search

Bae & Beauty Gaya Hidup

Memilih Atau Takut Salah Pilih? Berhenti Pertikaikan Mereka Yang Masih Single

Hidayah Abdullah
Share

Argh! Bingitnya telinga selalu sangat soalan yang tiada jawapan diaju lagi-lagi masa Hari Raya atau kenduri-kendara. Soalan yang tak boleh dielak adalah ‘bila nak kahwin?’, ‘dah ada teman lelaki ke?’, ‘bila nak bawa jumpa bakal menantu? Itu tidak termasuk lagi kata-kata berbaur sindiran seperti ‘memilih sangat kau ni’, ‘memilih buat apa, kau bukan cantik mana’, ‘jangan lambat sangat, tak dapat anak nanti’ Wah! Sedap betul melontarkan kata-kata pedih itu kepada si single. Sakit pula hati, rasa ingin membalas semula sindiran tetapi memikirkan keadaan akan menjadi lebih teruk maka si single pun sabar dan telan saja setiap bait kata yang dilontarkan.

Memilih itu penting sebenarnya kerana setiap orang pasti inginkan pasangan yang setaraf, sesuai atau tinggi sedikit daripadanya. Bukan materialistik cuma hidup ini perlu realistik! Memilih juga adalah satu proses sebelum seseorang itu tersalah buat keputusan untuk memilih calon peneman hidup. Bak kata orang putih perkahwinan ini macam gamble, sama ada menang atau kalah. Jika kalah pastinya sakit dan menjadikan perkahwinan itu toksik, bukan?

Belum Jodoh

Seperti kita sedia maklum, jodoh, rezeki, ajal semua di tangan tuhan. Jadi, mengapa perlu bertanya-tanya? Jika kita paksa juga sesuatu yang belum masanya sudah pasti hasil yang akan dapat adalah kegagalan. Kadang-kadang yang terbaik itu mungkin datang lambat supaya masing-masing mempersiapkan diri sebelum menjadi pasangan yang sah dan membina mahligai yang harmoni. Jodoh itu ada, cuma cepat atau lambat.

Stabilkan Kewangan

Perkahwinan bukan kisah dongeng ye semua, hidup tak seindah ending dalam novel mahupun drama pukul 7. Kewangan yang stabil penting kerana selepas berkahwin banyak komitmen yang perlu ditanggung. Mana nak bayar kereta, rumah, bil, barang keperluan dan nanti bila sudah ada anak mestilah pasangan inginkan pendidikan dan keperluan yang terbaik untuk anak mereka.

Trauma

Sesetengah orang trauma dengan perhubungan sebelumnya, disebabkan hubungan yang tidak berjaya membuatkan mereka penat dan takut untuk memulakan hubungan baru. Patah hati memberikan tekanan emosi yang hebat, janganlah tekan mereka pula supaya cepat cari pengganti. Luka di badan pun mengambil masa untuk pulih, inikan pula luka di hati tiada siapa yang faham.

Utamakan Ibu Bapa

Ada juga yang pentingkan ibu bapa dahulu. Mungkin adik-beradik lain tidak dapat menjaga ibu dan ayah kerana sudah berkeluarga. Kebetulan si bujang pula tinggal bersama ibu ayah, jadi tidak salah sekiranya mereka lebih memilih untuk berbakti kepada orang tua berbanding mencari pasangan hidup. Tidak rugi menjaga orang tua. Selain dapat luangkan masa bersama, gunakan segala tenaga untuk membalas jasa mereka. In sha Allah, hidup anda lebih berkat.

Selesa Bersendirian

Ada juga yang selesa bersendirian, tidak mahukan sebarang komitmen yang melibatkan perhubungan fizikal dan emosi. Golongan ini sebenarnya telah menemui sesuatu yang dapat memenuhi kepuasan hidup mereka. Contohnya, mereka lebih memilih untuk merantau seluruh dunia, memiliki hobi memanjat gunung di mana mereka ingin melakukannya secara bersendirian dan bukan berpasangan.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!