Adakah Kucing Kesunyian Bersendirian Atau Mereka Okay Sahaja Jadi 'Kucing Tunggal'? );

Type to search

Haimeow Cattiviti

Adakah Kucing Kesunyian Bersendirian Atau Mereka Okay Sahaja Jadi ‘Kucing Tunggal’?

Avatar
Share
cemburu sunyi

Bagi mereka yang membela seekor kucing, pernah tak anda terfikir “adakah kucing saya rasa bosan dan sunyi tanpa kucing lain atau adakah dia okay sahaja bersendirian?”

Adakah Kucing Saya Gembira Jadi ‘Kucing Tunggal’? Atau Ia Sunyi Dan Mahukan Teman?

Langkah pertama dalam menjawab soalan tersebut adalah dengan mengetahui bahawa kucing domestik bergerak secara bersendirian ketika memburu dan makan.

Berbeza dengan anjing yang berpewatakan lebih sosial, kerana secara semulajadi mereka memburu secara berkumpulan.

Menurut seorang perunding tingkah laku kucing, Marilyn Krieger, kucing sebenarnya tidak suka makan terlalu dekat antara satu sama lain. Ramai pemilik kucing yang membela lebih daripada seekor kucing meletakkan mangkuk makanan kucing mereka di sebelah satu sama lain, tetapi menurutnya ini adalah satu kesalahan.

“Kucing harus makan, jadi mereka akan tetap makan, tetapi mereka tidak begitu gembira. Mereka akan rasa tertekan,” kata Krieger yang juga dikenali sebagai The Cat Coach.

Namun, di luar waktu makan, kebanyakan kucing juga mahu bersosial dan boleh merasa sunyi. Walaupun ada kucing yang tidak suka kehadiran kucing lain dan mahu menjadi satu-satunya kucing kesayangan di rumah, kucing liar juga mempunyai rakan, dan banyak kucing peliharaan saling berteman.

Tambah Krieger, kucing memang boleh hidup bersendirian walaupun itu bukan pilihan mereka. Dan kucing dewasa secara semulajadi memiliki sifat ‘territorial’ (amat mementingkan kawasan persendirian mereka).

Sifat ‘teritorial’ ini biasanya hanya muncul ketika kucing sudah dewasa. Anak kucing sangat menginginkan teman bermain, dan anak kucing akan membentuk ikatan dengan rakan mereka dari kecil.

Walaupun anda meletakkan anak kucing dari ibu yang berlainan, mereka berkemungkinan besar tetap akan menjadi rakan baik.

“Bagi kebanyakan anak kucing, cara mereka belajar kemahiran sosial adalah dengan berinteraksi dan bermain antara satu sama lain. Sebilangan besar anak kucing bersosial dengan baik.,” kata Krieger.

mahal

Nak Pilih Kawan Untuk Kucing Anda?

Adakah anda mempunyai kucing yang tidak suka kehadiran kucing lain dan selesa hidup sendiri (mungkin disebabkan ia berpisah dengan adik-beradiknya ketika masih kecil dan tidak biasa hidup dengan kucing lain) atau kucing yang kesepian, kesunyian dan mahukan teman?

Agak sukar untuk diagak sebenarnya, kerana kucing anda mungkin manja dan sentiasa mahukan perhatian manusia tetapi tidak semestinya ia akan sama dengan kucing lain, kata Krieger.

Adalah sangat berguna jika anda mengetahui sejarah kucing anda dan kucing yang anda mahu ambil untuk mengetahui sama ada mereka akan mudah berkawan.

Menurut Krieger lagi, salah satu tips untuk mencari kawan untuk kucing anda adalah mencari kucing yang dalam lingkungan usia yang sama, kerana mereka mempunyai tahap tenaga yang serupa.

Anak kucing lebih bertenaga dan sentiasa mahu bermain manakala kucing dewasa lebih ‘chill’ dan ‘relax’, lebih suka meluangkan masa berehat dan bermalas-malasan.

Sekiranya anda mempunyai kucing yang lebih tua dan ingin mengambil anak kucing, dapatkan dua ekor anak kucing supaya mereka dapat bermain bersama dan biarkan kucing anda yang tua itu berehat dengan tenang.

Cara Nak Perkenalkan Kucing Baru

Jika anda sudah membuat keputusan untuk mendapatkan kucing anda teman, langkah seterusnya adalah memperkenalkan mereka dengan langkah yang betul.

“Kucing boleh membentuk ikatan yang erat dengan kucing lain. Bahkan kucing dewasa boleh menjadi teman rapat jika mereka diperkenalkan dengan cara yang betul,” kata Krieger.

Anda harus bersabar dan tidak boleh terburu-buru dalam memperkenalkan kucing yang baru. Anda harus pisahkan mereka terlebih dahulu. Bagi mereka masa untuk saling mengenali suara dan bau yang lain.

Memperkenalkan kucing yang baru secara terburu-buru boleh menyebabkan kedua-dua kucing stres.

Perkara yang penting adalah setiap kucing harus mempunyai bekas makanan sendiri dan tidak digalakkan makan dalam satu bekas. Jika boleh, bekas najis juga harus dipisahkan.

Lagi satu tips, beri kucing-kucing anda treats apabila mereka bersosial dengan baik antara satu sama lain.

Kucing Baru Kehilangan Teman, Bolehkah Gantikan Dengan Teman Lain Terus?

Adakah kucing akan merasa sedih dan kesunyian setelah rakan mereka mati? Apabila salah satu haiwan peliharaan anda mati, kehilangan itu akan meninggalkan kekosongan dalam hidup anda dan juga kehidupan kucing yang masih hidup jika mereka rapat.

Persoalannya, seberapa pantas anda harus mendapatkan teman baharu untuknya? Krieger mengesyorkan supaya memberi masa kepada kucing anda (dan anda sendiri) untuk meratapi pemergiannya dahulu. Ini mungkin mengambil masa beberapa bulan.

Jika anda terus memperkenalkannya kepada teman baru, ia boleh menjadi stres. Sudahlah ia sedang bersedih atas pemergian temannya, ia juga terpaksa menyesuaikan diri dengan kehadiran makhluk asing.

“Kucing tahu bahawa ia bukan teman yang sama. Bau berbeza, kelihatan berbeza dan segalanya berbeza,” kata Krieger.

Sumber: Catster
Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!