Kucing tidak mungkin bertindak agresif tanpa sebarang sebab. Ia kebiasaannya bertindak agresif untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada apa yang dianggapnya sebagai ancaman.
Berdepan dengan si bulus yang agresif boleh jadi bahaya terutama jika seseorang itu tidak tahu bagaimana cara betul untuk mengendalikannya dan punca ia bersikap sedemikian.
Berikut adalah 7 sebab mengapa kucing bersikap agresif:
Kesakitan
Kucing yang berada dalam kesakitan akan cenderung untuk mendesir atau mencakar apabila anda menyentuhnya, terutamanya jika anda menyentuh bahagian yang membuatkan ia sakit.
Ketakutan
Kucing yang sedang berada dalam ketakutan mempunyai gaya badan yang jelas menunjukkan ia sedang takut.
Ia akan memusingkan badannya dan mengembangkan ekornya supaya kelihatan besar. Telinganya pula akan leper ke belakang, biji matanya akan mengembang dan ia akan mendesir.
Jika si bulus berada dalam keadaan ini, biarkan ia menenangkan diri seketika dan jangan menghampirinya kerana ia akan menyerang anda.

Hormon
Si bulus yang tidak dimandulkan lebih cenderung untuk bersikap agresif. Kucing jantan terutamanya secara semula jadi akan bergaduh dengan jantan lain apabila terdapat kucing betina yang sedang ingin mengawan.
Jika anda terlihat dua ekor kucing sedang bergaduh, jangan campur tangan dengan melulu kerana anda mungkin akan menjadi sasaran.
Kekecewaan
Si bulus cenderung untuk bersikap agresif jika naluri pemangsanya tidak dapat dipenuhi.
Sebagai contoh, seekor kucing indoor yang melihat kucing jalanan berjalan-jalan atau menandakan kawasan di luar rumah mungkin akan bertindak agresif kerana terdapat ‘pencabar’ lain yang ingin mengambil kawasannya.
Ketika itu, sesiapa yang berada berdekatan dengannya, tidak kira manusia atau haiwan lain, mungkin akan menjadi mangsa.
Stres
Jika si bulus tinggal di dalam suasana yang menyebabkannya tertekan – contohnya rumah yang sentiasa bising atau terlalu banyak kucing – adalah mungkin untuk ia bertindak agresif.
Sikap si bulus kebiasaannya akan mengikut dinamik tempat tinggal mereka, jika penghuni rumah kerap bergaduh dan meninggikan suara, ia mungkin akan menjadi agresif.

Trauma
Si bulus juga boleh menderita akibat ganguan PTSD. Kejadian atau insiden masa lalu yang menyebabkannya menderita mungkin akan mendorongnya untuk bertindak agresif.
Si bulus yang pernah tinggal di jalanan khususnya mudah mengalami gejala ini kerana mereka cenderung untuk dikasari atau dikhianati.
Ketidakseimbangan Biokimia
Ini adalah perkara yang menyebabkan si bulus bertindak agresif yang sangat jarang terjadi.
Namun, seperti manusia, sesetangah kucing juga mempunyai ketidakseimbangan biokimia yang memberi kesan terhadap tingkah lakunya.
Untuk si bulus yang menghadapi masalah ini, ubat-ubatan antidepressant atau anti-anxiety dapat membantu mereka.