Kucing merupakan seekor haiwan yang comel dan dan sangat digemari ramai dek kerana sifat periang yang dimilikinya.
Namun begitu, perwatakan si meow juga boleh berubah serta merta tanpa diduga atas beberapa faktor yang mungkin kurang disenangi mereka.
Dalam diam, kucing pun tahu merajuk jugak tau! Berikut merupakan 5 petanda si meow tengah marah dengan korang.
‘Pandangan Jelek’
Dalam sesetengah perkara kita mungkin boleh terpedaya dengan bahasa tubuh yang dimainkan namun perlu diketahui bahawa pandangan mata tidak akan pernah boleh menipu.
Kucing yang sedang marah boleh dikesan melalui pandangan mata mereka. Pandangan apa? Semestinya satu tenungan tajam tepat ke arah mata akan dipamerkan oleh si meow.
Menurut Kac Young yang merupakan penulis The One Minute Cat Manager, kucing mudah marah sekiranya rutin harian mereka terganggu. Sebagai contoh, lewat diberi makan, pertukaran tempat tidur dan kehadiran kucing liar.
Bersembunyi Sendirian
Pernah tengok kucing menyendiri dan menyorok di penjuru dinding? Itu la antara petanda yang menunjukkan mereka sedang marah.
Bersembunyi merupakan tabiat kucing yang tidak dapat dibendung. Sekiranya si meow kerap menyorok dan termenung bersendirian, berkemungkinan besar mereka sedang marah ataupun takut atas beberapa faktor.
Perlakuan itu merupakan satu tindak balas ataupun refleks pada kucing untuk mereka berasa lebih selamat. Sekiranya dipaksa untuk bersosial, si meow yang comel mungkin akan bertukar menjadi lebih agresif.
Menolak Makanan Kegemarannya
Kebiasaannya, kucing yang sedang bersedih akan kurang makan ataupun tidak mahu makan langsung.
Ianya sering terjadi apabila si meow berhadapan dengan situasi baru yang tidak dikenali sebagai contoh perubahan rutin, berlaku kenduri kendara di dalam rumah ataupun kelahiran bayi baru di dalam rumah.
Kurang Bermain
Si meow sememangnya gemar bermain dengan permainan mereka. Tidak kiralah sama ada secara berseorangan ataupun beramai-ramai, hakikatnya kucing mempunyai sifat yang sangat comel.
Kucing mudah bosan dengan permainan yang sama jadi penting untuk anda mencampurkan permainan tersebut dengan sedikit catnip agar si meow kekal gembira dan selesa untuk bermain.
Bulu Mengembang
Kucing yang sedang marah selalunya akan mengembangkan bulu. Secara tidak langsung ia akan menampakkan penampilan kucing tersebut lebih besar dan lebih menakutkan.
Sama seperti dalam pergaduhan, bulu si meow secara automatik akan mengembang dan postur badan juga akan menegak serta meninggi seiring dengan suara mereka.
Selain itu, kedudukan telinga si meow juga akan menghala ke belakang. Ini adalah petanda paling mudah untuk korang kesan kucing yang tengah marah tau!
Jangan fikir kucing tak boleh nak marah ye, kita sebagai pemilik kucing perlu lah selalu peka dan faham dengan bahasa tubuh dan perlakuan yang ditunjukkan si meow.
Kalau dah berminggu-minggu si meow pandang jelek dekat korang, tapi masih tak tahu apa puncanya susah jugak nanti!
[Sumber: rd.com]
Baca Juga: Si Meow Suka Tidur Bersama Anda? 3 Faktor Mengapa Kucing Suka Sangat Menyibuk Atas Katil