SI ‘RARE’ OCICAT Verst Baka );

Type to search

Baka Eksotik Haimeow Pilihan Haimeow

SI ‘RARE’ OCICAT

Share

Pendedahan terhadap baka Ocicat di Malaysia adalah kurang berbanding di negara Amerika mahupun Eropah. Umum diketahui jika menyebut mengenai baka Bengal, ramai sudah sedia maklum tentang kewujudan baka tersebut. Ada kalanya mereka melihat Ocicat ini sama seperti Bengal.

Oleh disebabkan itu,  rasa terpanggil untuk menjadikan baka ini dikenali agar masyarakat di luar sana dapat membezakan diantara baka Ocicat dan Bengal. Jika diikutkan, Ocicat ini merupakan salah satu baka yang mempunyai tarikan dan keunikan pada coraknya, malah mereka mempunyai ‘attitude’ yang tersendiri.

Baka Ocicat adalah satu baka kucing yang aktif, sangat manja dan mudah mesra walaupun kepada orang yang tidak dikenali. Jenis kucing ini adalah baka yang sesuai dan jinak untuk semua peringkat umur. Pada asasnya, Ocicat kelihatan seperti ‘wild cat’ namun kebenarannya adalah Ocicat sepenuhnya baka domestik.

Baka ini terhasil daripada persilangan pembiakan di antara baka Abyssinian dan Siamese. Jadi, sifat domestik itu jelas amat tinggi dan tidak mendatangkan masalah kepada semua pemilik kucing. Selain itu, Ocicat mudah untuk dijaga kerana memiliki bulu yang pendek dan kurang mengalami masalah keguguran bulu seperti jenis baka berbulu panjang dan lebat antaranya Persian, Exotic Shorthair, Maine Coon serta banyak lagi.

Ocicat bukanlah dari kategori kucing yang menghasilkan vokal yang kuat dan baka ini bijak serta tiada masalah jika ditinggalkan seharian kerana pandai berdikari.

Ocicat berbulu yang pendek dan rapat. Penjagaan baka ini mudah kerana bulunya yang pendek dan kurang gugur. Jadi, untuk dibandingkan dengan cuaca dan persekitaran di Malaysia, ia bukanlah sesuatu masalah yang besar untuk memelihara dan membiak baka Ocicat di sini. Apa yang lebih penting adalah bagaimana cara penjagaannya, memberikan makanan yang mengandungi diet seimbang dan membuat pemeriksaan veterinar secara berkala. Sekiranya semua aspek ini diteliti dengan baik, tidak dirasakan kesukaran untuk memelihara dan membiak bukan sahaja kucing daripada baka Ocicat, malah semua jenis kucing.

Tags:
Fiq Mukri

Bermula dengan rekaan grafik sebelum memasuki dunia penulisan teknologi pengguna. Minat pada perkakasan PC, sistem permainan video, streaming, kucing, pelancongan dan NATURE HUNTING.

  • 1
Scroll Up
error: Content is protected !!