Elakkan Makanan & Minuman Yang Berbahaya Kepada Si Bulus Verst Haimeow );

Type to search

Haimeow Kesihatan

Elakkan Makanan & Minuman Yang Berbahaya Kepada Si Bulus

Share
Kucing

Kucing adalah haiwan yang terkenal dengan sifat ingin tahu yang tinggi, tetapi sifat ini boleh mendatangkan mudarat kepada kucing jika tidak diawasi terutamanya dari segi pemakanan.

Terdapat beberapa makanan dan minuman yang boleh memberi mudarat kepada kesihatan kucing kerana tidak sesuai dengan tubuh badannya.

Adalah penting untuk memberi kucing makan makanan khusus untuk kucing kerana kandungan nutrien yang terkandung dalam makanan kucing adalah lengkap dan sesuai untuk tumbesarannya.

Justeru itu, pemilik kucing harus berwaspada terhadap makanan dan minuman berikut:

Bawang

Bawang putih mahupun bawang merah adalah salah satu makanan yang berbahaya kepada kucing kerana boleh mengakibatkannya mengalami masalah anemia (kekurangan sel darah merah) jika dimakan untuk jangka masa panjang atau dimakan dalam kuantiti yang banyak sekaligus.

Masalah anemia terjadi apabila bahan kimia yang terdapat di dalam bawang bertindak balas untuk menghancurkan sel darah merah di dalam tubuh badan kucing.

Telur & Daging Mentah

Makanan mentah kebiasaannya mempunyai kandungan bakteria yang tinggi seperti bakteria Salmonella dan E.coli yang berbahaya untuk kesihatan si bulus. Bakteria tersebut menyebabkan kucing mengalami masalah sistem penghadaman, iaitu muntah dan cirit-birit.

Selain itu, ikan mentah juga harus dielakkan kerana mempunyai enzim yang mampu menghancurkan thiamine (vitamin B1) yang terdapat di dalam tubuh badan kucing. Kekurangan thiamine akan menyebabkan masalah pada sistem saraf dan boleh mengakibatkan sawan.

Minuman Beralkohol & Adunan Mentah

Minuman atau makanan yang mempunyai alkohol sangat berbahaya kepada kucing, walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Alkohol mampu merosakkan hati dan otak. Dua sudu alkohol sudah memadai untuk membuat kucing koma.

Selain itu, adunan mentah juga sangat bahaya jika dimakan oleh kucing kerana adunan tersebut akan mengembang di dalam perut dan kemudiannya menghasilkan alkohol.

Tulang

Tulang digemari oleh kucing tetapi adalah amat bahaya kerana tulang boleh tersekat pada anak tekak. Tulang bersifat keras dan jika dipatahkan akan menjadi tajam, yang jika ditelan boleh mencederakan mulut serta saluran pemakanan seperti esofagus dan perut.

Susu & Produk Tenusu

Kebanyakan kucing gemar minum susu namun ia sebenarnya adalah tidak baik untuk sistem penghadaman kucing kerana kucing dikenali sebagai haiwan yang lactose intolerant.

Kucing dewasa mempunyai masalah untuk menghadam kandungan laktosa di dalam susu. Pengambilan susu akan mengakibatkan muntah serta cirit-birit.

Tidak seperti anak kucing, yang boleh bertoleransi dengan kandungan laktosa yang terdapat di dalam susu dari saat dilahirkan sehinggalah bercerai susu pada usia dua bulan.

Makanan Anjing

Harus diingatkan makanan anjing tidak sesuai untuk kucing. Walaupun makanan anjing tidak beracun atau mengandungi toksin yang berbahaya kepada si bulus, kandungan nutrien di dalam makanan kucing dan anjing adalah berbeza.

Kucing memerlukan makanan yang mengandungi lebih banyak vitamin A, taurin, asid arakidonik dan protein, manakala anjing memerlukan kandungan vitamin dan mineral tersebut dalam kuantiti yang lebih rendah.

Kekurangan taurin boleh mengakibatkan kucing mengalami masalah jantung, penglihatan dan gigi.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!