Kafr Nabl: Kota Yang Hancur Akibat Pengeboman Di Syria Dengan Majoriti Penduduk Adalah Kucing - Verst Haimeow

Type to search

Haimeow Cerita Pilihan Haimeow

Kafr Nabl: Kota Yang Hancur Akibat Pengeboman Di Syria Dengan Majoriti Penduduk Adalah Kucing

Share

Terletak di utara barat Syria, Kafr Nabl suatu ketika dahulu adalah sebuah kota yang menjadi rumah kepada lebih 40,000 ribu penduduk.

Insiden pengeboman oleh pasukan tentera Syria dan Rusia mengakibatkan ramai penduduk mula meninggalkan kota berkenaan sehingga hanya kira-kira seratus orang yang masih kekal di kawasan itu.

Kini, majoriti penduduk Kafr Nabl adalah kucing jalanan yang berkeliaran di kawasan kota tersebut – jumlahnya mungkin mencecah beribu-ribu ekor.

Seorang penduduk yang masih tinggal di situ, Salah Jaar berkata: “Ramai penduduk sudah meninggalkan Kafr Nabl menyebabkan populasi menjadi sangat kecil.

“Kucing-kucing ini memerlukan penjagaan, makanan dan minuman. Jadi mereka semua mencari perlindungan di rumah yang masih berpenghuni. Setiap rumah kini mempunyai lebih kurang 15 ekor kucing, kadang-kadang lebih,” jelas Salah.

Salah berkata bermesra dengan kucing-kucing dapat menenangkan dirinya dari huru-hara kota itu

Salah masih bekerja sebagai wartawan di stesen radio tempatan, Fresh FM, walaupun studio asalnya telah hancur akibat serangan udara.

Stesen tersebut, yang menyiarkan amaran bom dan juga berita, sangat popular dengan kucing. Berpuluh-puluh ekor kucing menjadikan kawasan itu sebagai rumah mereka.

Pengasasnya, Raed Fares, yang telah terbunuh pada November 2018, turut memberi elaun kepada pekerjanya untuk membelikan kucing-kucing di situ makanan dan minuman. Menurut Salah, banyak kucing yang lahir di bangunan tersebut (Fresh FM).

Tambahnya, jika anda berjalan di kota Kafr Nabl, anda akan disapa oleh berpuluh-puluh ekor kucing jalanan dan kadang-kadang ada yang akan mengikuti sehingga ke rumah.

Kucing-kucing akan sentiasa mengekori manusia di Kafr Nabl

Kucing-kucing di kota berkenaan terpaksa berusaha hari demi hari demi kelangsungan hidup akibat peperangan yang berlaku.

Mereka terpaksa bersaing dengan anjing bagi mendapatkan makanan tetapi jumlah kucing yang lebih banyak mungkin memberi sedikit kelebihan buat haiwan tersebut.

“Apa saja yang saya makan, mereka akan makan tidak kira sama ada ia sayur, mee atau hanya roti kering. Dalam situasi ini saya merasakan bahawa kami sama-sama adalah makhluk lemah dan memerlukan antara satu sama lain,” kata Salah.

Apa yang berlaku bukan sahaja membahayakan manusia, kucing-kucing di Kafr Nabl turut terkesan dan cedera akibat insiden pengeboman yang dilakukan.

Kucing-kucing di kota ini terpaksa makan apa sahaja demi kelangsungan hidup

Salah berkata: “Saya mempunyai seorang rakan yang membela kucing . Salah satu daripadanya terkena roket yang hampir meletupkan bahagian kaki hadapannya. Namun, kami sempat membawanya kota berhampiran (Idlib) untuk mendapatkan rawatan.”

Salah meluahkan kerisauannya mengenai nasib serta keselamatan kucing-kucing di kawasan itu kerana pihak tentera sudah semakin menghampiri kota tersebut.

“Kami telah berkongsi banyak kenangan manis dan pahit, suka dan duka, serta ketakutan yang sangat tinggi. Mereka telah menjadi teman kami,” katanya lagi.

Salah turut menegaskan jika keadaan bertambah teruk, dia dan rakan-rakannya akan cuba membawa sebanyak mungkin kucing-kucing tersebut bersama mereka jika terpakasa meninggalkan Kafr Nabl.

[Sumber & Foto: BBC]

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!