Kenali Choupette, Kucing Paling Mewah Di Dunia Dengan Nilai Kekayaan Lebih RM800 Juta - Verst Haimeow

Type to search

Haimeow Cerita

Kenali Choupette, Kucing Paling Mewah Di Dunia Dengan Nilai Kekayaan Lebih RM800 Juta

Share

Mempunyai dua orang gaji yang menguruskan kehidupan hariannya, bodyguard untuk menjaga keselamatan dan tukang masak peribadi bagi memenuhi selera makannya, itu hanyalah beberapa contoh kemewahan kucing milik mendiang Karl Lagerfeld, Choupette.

Selepas kematian pereka fesyen yang berasal dari Jerman itu pada Februari lalu, Choupette dikhabarkan bakal mewarisi sebahagian harta milik Karl yang berjumlah sekitar RM813 juta (176 juta Euro).

Dalam satu temuramah bersama majalah Perancis “Le Figaro”, Karl menegaskan bahawa Choupette adalah pewaris kepada hartanya. Beliau mahu memastikan kucing kesayangannya terus hidup mewah dan bergaya.

Choupette adalah seekor kucing betina baka Burma yang dihadiahkan oleh model Perancis, Baptiste Giabiconi yang juga salah seorang model bagi Chanel. Pada mulanya, Choupette ditinggalkan bersama Karl selama dua minggu ketika Baptiste ke luar negara. Apabila Baptiste pulang, Karl berkata kepadanya, “maafkan saya, Choupette adalah milik saya.”

Dalam satu temubual bersama Cut pada 2015, Karl berkata, “Dia (Baptiste) membela seekor kucing lain yang kemudiannya menjadi gemuk, dan Choupette menjadi kucing paling popular di dunia, dan yang terkaya.”

Walaupun mulanya dikenali sebagai haiwan peliharaan pereka fesyen tersebut, Choupette berjaya menggapai populariti dan meraih status selebriti dengan sendiri.

Choupette mempunyai kerjaya modelling dan pernah muncul dalam sesi photoshoot 10 muka surat bersama majalah V pada September 2012. Pada Mac 2015, dalam satu temubual bersama The Cut, Karl memberitahu bahawa Choupette pernah menerima €3 juta pada tahun 2014 hasil penglibatannya dalam dua projek: projek bersama sebuah syarikat kereta Jerman dan produk kecantikan Shu Uemura, Shupette di Jepun.

Selain itu, satu buku tentangnya pernah diterbitkan bertajuk “Choupette: The Private Life of a Cat Fashion Flying High“.

Ketika beliau hidup, Karl sangat memanjakan Choupette dengan kemewahan. Karl menggaji dua orang pembantu, Françoise and Marjorie, khusus bagi melayan kehendak kucing kesayangannya itu. Choupette juga memiliki vet peribadi yang sentiasa bersedia on-call bagi memeriksa kesihatannya.

Seperti kata pepatah “bapa borek anak rintik”, Choupette juga mewarisi kecintaan terhadap fesyen daripada pemiliknya. Choupette menggemari beg shopping Collete dan juga Goyard.

Kecintaan Karl kepada Choupette begitu tinggi sehinggakan beliau pernah mengeluarkan hasrat untuk mengahwini kucingnya itu. Dalam satu temubual bersama CNN pada Jun 2013, beliau berkata, “Setakat ini tiada lagi perkahwinan antara manusia dan haiwan… Saya tidak pernah sangka saya akan jatuh cinta sebegini dengan seekor kucing.”

Tags:
Scroll Up
error: Content is protected !!