Meskipun kucing merupakan seekor haiwan yang berhabitat liar dan lasak, namun serangan alergi sememangnya tidak dapat dielakkan oleh mana-mana hidupan sekalipun.
Sama seperti manusia, si meow juga boleh terkena jangkitan ataupun alahan pada sesuatu perkara dan ianya boleh terjadi di mana-mana sahaja.
Berikut merupakan 3 jenis alahan yang sering dialami oleh seekor kucing.
Persekitaran
Persekitaran yang kotor juga boleh menjadi salah satu daripada punca alahan pada si meow sebagai contoh, debu kotoran, asap rokok, minyak wangi, dan juga produk pembersih.
Sabun pencuci lantai misalnya boleh menyebabkan si meow mengalami alahan kerana bauan yang terlampau kuat ataupun ianya tidak dibilas dengan bersih selepas dicuci.
Kekotoran ini sekaligus akan menyebabkan si meow mengalami kesan kegatalan, bersin dan kemerahan kulit sehingga bengkak.
Alahan Kutu
Jenis alahan yang sering terkena pada seekor kucing adalah serangan daripada kutu yang boleh menyebabkan kucing mengalami kesan alergi. Meskipun ianya sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun jika serangan kutu ini berlarutan tanpa dibendung, ianya boleh mengakibatkan masalah yang serius.
Bukan hanya di kawasan yang digigit, tetapi seluruh tubuh kucing akan mengalami masalah keguguran bulu, kemerahan, dan gatal-gatal.
Sekiranya si bulus anda mengalami alahan yang serius pada kutu, segera dapatkan rawatan di klinik vet berhampiran anda sebelum ianya terlambat.
Alahan Makanan
Terdapat banyak jenis makanan yang boleh mengakibatkan serangan alergi dan sumber protein seperti ayam, daging lembu, susu, ikan, dan telur merupakan antara yang paling kerap dialami.
Bagi alahan jenis makanan, gejala dan kesan yang dialami adalah berbeza-beza, seperti kesan kulit gatal, muntah, dan juga cirit-birit.
Mengulas lanjut mengenai sumber makanan, ramuan serta jenis pemakanan yang diberi juga harus dipertimbangkan dan antara salah satunya diet si meow perlulah bebas daripada bahan tambahan sintetik yang boleh mencetuskan alergi pada mereka.
Sebaiknya dapatkan makanan yang dirumus khas dengan formula yang asli dan sihat untuk dinikmati oleh si meow agar tidak mendatangkan kesam sampingan selepas itu.
Sekiranya kucing anda kerap tergaru-garu dan bersin, seeloknya dapatkan rawatan daripada pakar kerana ianya mungkin antara simptom awal bagi kucing yang mengalami masalah alahan.
Siapa tahu mungkin si meow sebenarnya mempunyai alahan pada ayam, namun sikap sambil lewa anda yang tidak mengambil berat telah memaksa mereka makan ayam setiap hari. Kesian kan?
[Sumber]: merdeka
Baca: Masalah ‘Overgrooming’ Kucing, Mengapa Berlaku Dan Bagaimana Menghentikannya