Keistimewaan kucing bukan sahaja terletak pada wajah dan perlakuan mereka, malah bulu yang lebat dan bersih juga sering menjadi tumpuan peminat kucing.
Namun begitu, masalah keguguran bulu atau lebih dikenali sebagai alopecia sering dialami oleh si meow dan sekaligus merosakkan imej mereka sebagai kucing comel.
Bagi pemilik kucing di luar sana, anda mungkin sudah lali menyapu dan membersihkan gumpalan bulu kucing yang kerap gugur di karpet rumah kan?
Berikut merupakan faktor dan punca mengapa bulu kucing kerap gugur.
Kesihatan Kucing
Ketidakseimbangan hormon seperti hipertiroidisme atau peningkatan kadar steroid dalam tubuh, boleh menyebabkan bulu kucing gugur.
Punca lain yang boleh menyebabkan bulu gugur adalah disebabkan elergi kulit atau reaksi terhadap kegatalan. Si bulus yang mengalami masalah kulit seperti kutu, tungau, kegatalan dan keradangan boleh menyebabkan bulu mereka gugur.
Masalah Emosi
Gangguan saraf yang memberi kesan kepada perilaku kucing seperti menjilat tubuh secara berlebihan boleh menyebabkan masalah bulu gugur.
Perilaku itu mungkin disebabkan berlakunya gangguan emosi sehingga boleh menyebabkan tekanan dan memberi kesan kepada bulunya. Bagaimanapun dengan ubat-ubatan tertentu, masalah itu dapat diatasi.
Kebiasaannya kucing yang stress memang akan mengalami masalah keguguran. Pentingnya di sini untuk anda ketahui punca stress mereka dan cuba gembirakan si meow anda.
Kesakitan Fizikal
Kucing yang menanggung kesakitan boleh membawa kepada masalah bulu gugur dan kebiasaannya ianya berpunca daripada rasa sakit di bahagian otot ataupun sendi di bawah kulit.
Untuk meredakan rasa sakit, kucing akan menjilat bahagian yang terkesan dan bulu gugur merupakan kesan sampingan daripada perbuatannya itu.
Cara Atasi
Berus ataupun sikat bulu kucing pada setiap hari dapat mengelakkan daripada keguguran melampau si meow.
Dengan memberus kucing, bulu-bulu yang mati dapat ditanggalkan sekaligus dapat mengelakkan ianya daripada berterbangan. Takda la bersepah bulu si meow atas sofa dan lantai rumah kan?
Sebaiknya gunakan sikat bergigi rapat bagi membolehkan kutu ataupun kekotoran yang tersangkut dapat dibersihkan sekali.
Walaubagaimanapun, sekiranya kucing anda mengalami masalah keguguran bulu yang terlampau serius, sebaiknya dapatkan rawatan lebih lanjut dengan pakar ataupun doktor vet berhampiran.
Jangan dibiarkan ye, kesian si meow nanti botak badan dia akibat keguguran.
[Sumber: ivet-petcare]
Baca Juga: Teknik Mudah Sikat Bulu Kucing
Ada cerita yang menarik untuk dikongsikan kepada pembaca? Jom hantarkan artikel anda pada kami. Untuk ketahui syarat-syarat penghantaran, korang boleh klik di sini.
