Kucing Boleh Menghidap Alzheimer? Ketahui Penyakit Dementia Pada Kucing - Verst Haimeow

Type to search

Haimeow Kesihatan Pilihan Haimeow

Kucing Boleh Menghidap Alzheimer? Ketahui Penyakit Dementia Pada Kucing

Share

Feline Senile Dementia atau juga dikenali sebagai Cognitive Dysfunction System (CDS) adalah penyakit berkaitan usia yang mempengaruhi otak.

Seperti dementia pada manusia, kucing yang mengalami dementia pada umumnya akan menunjukkan penurunan tahap ingatan, kesedaran dan pengecaman terhadap dunia di sekitarnya termasuk rumah mereka, penjaga dan haiwan lain dalam keluarga mereka.

Tanda-tanda

Tanda-tanda penyakit dementia boleh mula muncul pada kucing yang mungkin kita fikir masih muda lagi. Dr. Tory Waxman, seorang doktor haiwan kecil menjelaskan bahawa tanda-tanda ini boleh dilihat pada kucing seawal usia 7 atau 8 tahun.

Beliau menyatakan bahawa tanda-tanda dementia pada umumnya adalah perubahan tingkah laku. Tanda-tanda yang biasa dilihat:

  • Mengiau secara tiba-tiba
  • Tercengang, kebingungan atau keliru dalam suasana yang biasa
  • Perubahan tabiat membuang najis
  • Menjadi lebih kurang mesra – atau perubahan sikap yang lain
  • Over/under-grooming
  • Selera makan berubah

Dr. Waxman menasihati pemilik supaya memberitahu doktor haiwan jika terdapat perubahan tingkah laku supaya doktor boleh menentukan sama ada kucing mereka mengalami dementia atau terdapat masalah kesihatan lain.

Diagnosis

Oleh kerana tidak terdapat sebarang ujian atau diagnosis yang dapat menentukan sama ada kucing mengalami dementia, penyakit dementia kucing didiagnosis berdasarkan “perilaku tidak normal yang dilaporkan oleh pemilik kucing setelah mendapati perubahan tingkah laku tersebut bukan disebabkan perkara lain,” kata Dr. Waxman.

Untuk menentukan sama ada kucing anda mengalami dementia, doktor haiwan perlu melakukan pemeriksaan penuh dan menyeluruh, termasuk pemeriksaan fizikal, tekanan darah, pemeriksaan darah dan urinalysis untuk menentukan apakah terdapat masalah kesihatan yang lain.

Sekiranya anda mengesyaki kucing anda menghidap dementia, Dr. Waxman menasihatkan mengambil rakaman video yang boleh anda tunjukkan atau  kepada doktor haiwan.

“Kebanyakan kucing merasa gugup di klinik haiwan sehingga agak mustahil untuknya menunjukkan tanda-tanda tidak normal,” kata Dr. Waxman.

Dengan rakaman video, ia dapat memberi gambaran yang lebih menyeluruh kepada doktor untuk melihat tingkah laku kucing anda.

Bergantung kepada gejala yang ditunjukkan oleh kucing anda, doktor haiwan juga mungkin menasihati anda untuk berunding dengan pakar neurologi atau pakar tingkah laku haiwan.

Rawatan

Rawatan untuk dementia kucing boleh menjadi agak rumit.

“Sayangnya, sangat sedikit kajian yang dilakukan mengenai dementia kucing sehingga kebanyakan pilihan rawatan diambil daripada ubat manusia dan anjing,” kata Dr. Waxman.

Terdapat sebilangan suplemen yang dipasarkan sebagai memberi sokongan kognitif, tetapi anda harus berunding dengan doktor haiwan sebelum memberi apa-apa makanan tambahan kucing anda.

“Antioksidan (seperti Vitamin E) dikatakan mampu melambatkan perkembangan dementia kerana tekanan oksidatif yang terlibat dalam perkembangan demensia,” kata Dr Waxman

Tambah beliau, menambahkan minyak ikan ke dalam diet kucing anda dapat membantu, tetapi pastikan anda mendapatkan nasihat doktor haiwan terlebih dahulu dan pastikan minyak ikan yang digunakan adalah selamat untuk kucing.

CBD menjadi semakin popular untuk merawat pelbagai penyakit kucing termasuk dementia. Walau bagaimanapun, Dr. Waxman menyatakan “malangnya hanya terdapat sedikit bukti saintifik” untuk menyokong dakwaan bahawa CBD mampu membantu kucing yang menghidap dementia.

Beliau menasihati pemilik kucing yang mempertimbangkan untuk menggunakan CBD supaya berunding dengan doktor haiwan terlebih dahulu dan pastikan produk yang digunakan adalah khusus untuk kucing.

Sekiranya kucing anda kelihatan cemas setelah didiagnosis menghidap dementia, Dr. Waxman menyarankan penggunaan feromon Feliway yang menenangkan, atau Zylkene yang merupakan makanan tambahan semula jadi dari protein susu.

Kedua-duanya telah terbukti dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan ketenangan, tetapi anda diingingatkan supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Penjagaan

Tinggal dengan kucing yang mengalami dementia bukanlah mudah. Tiada sesiapa yang sanggup melihat kucingnya hidup dalam kekeliruan atau mengalami tekanan emosi. Untuk membantu kucing anda, anda harus memastikan bahawa ia hidup dengan seselesa yang mungkin.

Kucing yang mempunyai dementia juga tidak seharusnya dibiarkan keluar kerana ia mungkin mengalami kesukaran untuk mencari jalan pulang, dan banyak bahaya yang menantinya di luar.

Sekiranya kucing anda kelihatan menghadapi kesukaran untuk melompat ke tempat tinggi, sediakan tangga atau apa-apa yang boleh membantunya untuk memanjat.

Sekiranya kucing anda menghidap dementia, salah satu perkara terpenting yang boleh anda lakukan adalah dengan tidak merubah susunan perabot di dalam rumah untuk mengelakkannya keliru.

Selain itu, lakukan rutin harian yang konsisten untuk kucing anda seperti masa makan yang sama setiap hari.

Rutin yang konsisten dan susunan perabot yang tidak berubah dapat membantu kucing anda merasa selamat dan mengenali kawasan rumah terutamanya apabila usia meningkat.

[Sumber: Catster]
Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!