Kucing Lebih 'Clingy' Berbanding Anjing, Bayi? Verst Haimeow );

Type to search

Haimeow Cattiviti

Kucing Lebih ‘Clingy’ Berbanding Anjing, Bayi?

Share

Tidak seperti rakan mereka yang popular dengan gelaran “kawan baik manusia”, anjing, kucing lebih dikenali sebagai haiwan yang lebih berdikari, misteri dan tidak terlalu ‘clingy’. Ada juga yang menganggap kucing tidak mempunyai pertalian atau perasaan yang kuat terhadap manusia.

Namun kajian demi kajian membuktikan bahawa sifat-sifat yang sinonim dengan kucing tersebut hanyalah stereotaip semata-mata. Seorang saintis tingkah laku haiwan daripada Oregon State University, Kristyn Vitale menjalankan satu kajian bagi melihat sama ada kucing mempunyai ikatan terhadap pemiliknya.

Beliau dan temannya merekrut pemilik-pemilik kucing bagi menjalankan eksperimen “secure base test”, eksperimen yang kebiasaannya dijalankan bagi mengukur ikatan anjing kepada tuannya. Sebanyak 79 anak kucing dan 38 kucing dewasa terlibat dalam eksperimen ini.

Eksperimen yang sama turut dijalankan kepada bayi berdasarkan teori bahawa bayi mempunyai ikatan semulajadi dengan penjaga mereka berdasarkan keinginan yang tinggi untuk berada dekat dengan penjaga mereka.

Dalam eksperimen tersebut, pemilik-pemilik kucing masuk ke dalam sebuah bilik yang asing bersama kucing mereka dan selepas dua minit, pemilik kucing meninggalkan kucing mereka bersendirian di bilik tersebut, yang menyebabkan kucing mereka mula merasa stres. Penyelidik kemudian memerhatikan respon kucing apabila pemilik mereka masuk semula ke dalam bilik.

Dua pertiga daripada kucing tersebut menunjukkan ‘secure attachment’, mereka datang dan menyapa pemilik mereka, sebelum kembali meneroka bilik tersebut, dan akhirnya datang semula kepada pemilik mereka. Penyelidik menyimpulkan bahawa kucing-kucing tersebut berasa selamat dengan kehadiran tuan mereka, mereka melihat tuan mereka sebagai ‘tempat selamat’ ketika situasi yang asing bagi mereka.

Kira-kira 35% kucing-kucing tersebut menunjukkan ‘insecure attachment’, dengan ada yang mengelak daripada pemilik mereka, dan ada yang terus mencengkam pemilik mereka. Menurut penyeledik, ini tidak bermakna kucing-kucing tersebut mempunyai pengalaman buruk dengan pemilik mereka, cuma mereka tidak melihat pemilik mereka sebagai ‘tempat selamat’ mereka.

Kajian sama yang dilakukan terhadap bayi mendapati 65% menunjukkan ‘secure attachment’, manakala 58% bagi anjing. Jumlah ini jelas berbeza dengan peratusan kucing yang lebih tinggi.

Penyelidik bagaimanapun masih tidak dapat memastikan faktor-faktor yang membentuk ikatan antara kucing dan pemilik, tetapi berkemungkinan dipengaruhi oleh genetik, personaliti dan pengalaman.

Tidak seperti anjing atau bayi, kucing kebiasaannya hanya tinggal di rumah, jadi tempat atau suasan yang baru akan membuatnya berasa asing dan takut. Bagi sesetengah kucing, perasaan takut dan stres dapat menenggelamkan ikatan mereka dengan pemilik. Justeru, kesimpulan eksperimen tersebut mungkin tidak boleh menjadi kayu mengukur hubungan antara manusia dan kucing.

Dr. Vitale dan rakan penyelidiknya merancang untuk menjalankan lebih banyak eksperimen untuk menggali lebih lagi antara hubungan kucing dan manusia.

“Semakin banyak kita mengkaji tentang kucing, semakin jelas kita dapat melihat bahawa kucing adalah haiwan sosial, dan ikatan sosial adalah penting bagi mereka,” kata beliau.

Tags:

You Might also Like

error: Content is protected !!