Potong Kuku Kucing Dengan Cara Yang Betul Verst Haimeow );

Type to search

Haimeow Kesihatan

Potong Kuku Kucing Dengan Cara Yang Betul

Share

Kucing sememangnya dikenali sebagai haiwan yang pandai menjaga kebersihannya sendiri dan memastikan dirinya sentiasa terjaga.

Walaupun perkara ini benar, kucing juga sebenarnya memerlukan bantuan bagi memastikan kuku mereka sentiasa bersih dan sihat.

Tetapi, kebiasaannya kucing boleh bertindak agresif jika anda cuba untuk membersihkan dan memotong kukunya.

Dengan cara yang betul, proses ‘grooming’ kuku si bulus boleh menjadi satu pengalaman yang positif untuknya dan juga anda

Cara Mengetahui Kuku Kucing Anda Sihat

Apabila anda sedang meluangkan masa bersama si bulus, cuba perhatikan kuku mereka untuk mengetahui sama ada kuku kucing anda sihat atau tidak.

Perkara paling penting untuk anda perhatikan adalah panjang kuku si bulus. Anda harus pastikan kukunya tidak menyentuh lantai apabila ia berdiri. Jika kukunya terlalu panjang dan menyentuh lantai, ia akan membuatkan si bulus kurang cengkaman apabila berjalan di lantai kayu atau jubin.

Selain itu, kuku yang panjang juga akan menyebabkan si bulus berasa tidak selesa dan boleh menyebabkannya kukunya tersangkut pada karpet atau selimut yang boleh membuatkan si bulus tercedera.

Jika kukunya dibiarkan panjang, ia akan tumbuh sehingga tercucuk tapak kakinya dan ini boleh menyebabkan jangkitan.

Perlukah anda potong kuku si bulus?

Penjagaan kuku secara berkala termasuk memotong kuku adalah penting bagi kucing indoor. Kekerapan untuk anda memotong kuku si bulus adalah bergantung kepada berapa cepat kukunya tumbuh dan juga kekerapan ia mengasah kukunya sendiri.

Untuk kucing outdoor pula, mereka memerlukan kuku yang panjang berbanding kucing indoor kecuali jika sudah terlalu panjang. Kucing outdoor memerlukan kuku yang panjang untuk berdepan dengan bahaya dan juga untuk memanjat pokok.

Cara-cara memotong kuku kucing

Kucing harus dibiasakan dengan memotong kuku sejak dari kecil lagi supaya ia biasa dan tidak kekok. Kucing yang sudah dibiasakan dari kecil jarang melawan atau bertindak agresif ketika proses memotong kuku.

Langkah pertama: Untuk membuat kucing anda berasa teruja, anda boleh cuba berikan treats kegemarannya. Berinya treats apabila ia membenarkan anda memegang bahagian tapak kakinya. Ini akan membuatkan ia fikir bahawa ia akan mendapat sesuatu yang positif (treats) jika ia membenarkan anda memegang bahagian tapak kakinya.

Langkah kedua: Ambil pemotong kuku dan biarkan kucing anda meneroka puas-puas pemotong kuku tersebut. Berinya treats apabila ia meneroka pemotong kuku berkenaan. Ini akan membentuk suasana positif pada kucing anda.

Langkah ketiga: Apabila kucing anda sudah selesa dengan anda memegang bahagian tapak kakinya, anda sudah boleh mula memotong kuku si bulus. Jangan lupa untuk terus membelainya dan memberinya treats ketika anda sedang memotong kukunya. Pastikan anda hanya potong bahagian hujung kukunya yang berwarna putih dan tidak terlalu dalam.

Cuba pastikan proses memotong kuku singkat. Anda tidak perlu untuk memotong kesemua kukunya sekaligus. Jika tidak dapat lakukan kesemuanya dalam masa sehari, anda boleh potong pada keesokan harinya. Yang penting jangan memaksa kucing anda.

“Saya terpotong kukunya sehingga berdarah!”

Jangan panik. Adalah bagus jika anda menyediakan ‘clotting powder‘ ketika memotong kuku si bulus sebagai persediaan untuk insiden yang tidak dikehendaki. ‘Clotting powder‘ adalah bahan untuk menghentikan pendarahan yang boleh didapati di pasaran. Anda juga boleh gunakan tepung untuk menghentikan pendarahan. Jika anda risau, anda boleh bawa si bulus berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!